Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi serah dokumen bukti tambahan, beri keterangan di SPRM
Diterbitkan:  May 14, 2026 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk menyambung keterangan berhubung siasatan kes melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion.

Rafizi tiba pada 9.50 pagi bersama-sama barisan peguam berkata akan menyerahkan dokumen bukti tambahan 28 halaman kepada pegawai penyiasat SPRM bagi membantu siasatan itu.

“Selepas keterangan saya pada hari ini (diharap) ia dapat membantu SPRM menentukan lagi hala tuju siasatan,” katanya kepada pemberita sebelum masuk ke pejabat SPRM.

Sebelum ini, Rafizi dipanggil memberi keterangan selama empat hari bagi membantu siasatan kes pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom.

Setakat ini, 22 saksi telah dipanggil termasuk penganalisis politik Chai Jin Shern atau James Chai bagi membantu siasatan dengan dua lagi akan dipanggil melibatkan masing-masing seorang di Taiwan dan di Malaysia.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Feb susulan aduan daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS