Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pelakon terkenal China Fan Bingbing.
Sesi mengadap berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, kelmarin, ditemani tunjang produksi filem pemenang anugerah Mother Bhumi Wong Kew Soon, Chong Keat Aun dan Jersey Chong.
Jersey adalah pengurus Fan Bingbing yang juga anak kelahiran Johor.
Kunjungan itu dimuat naik di media sosial baginda sebentar tadi.
Fan Bingbing, yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Melaka yang bergelar “Datuk” antara pelakon dalam Mother Bhumi arahan Keat Aun yang juga anak Malaysia.

Filem itu turut dibintangi oleh Natalie Hsu (dari Hong Kong), Bai Run-yin (Taiwan), Pearlly Chua ( Johor), Alvin Wong ( Selangor), Rithaudin (anak Sabah) dan Pauline Tan ( Selangor).
“Filem itu juga membawa pengiktirafan antarabangsa serta mengharumkan nama Malaysia menerusi pencapaiannya di pentas perfileman dunia termasuk Golden Horse Awards, Tokyo International Film Festival dan Far East Film Festival,” menurut kenyataan itu.
Itu adalah lawatan kedua Fan Bingbing selepas tiga tahun.
Pada 2023, selebriti pertengahan umur 40-an itu membuat kunjungan hormat terhadap baginda sempena kehadirannya pada Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-34.
Baginda berkenan menerima menghadap selebriti itu setelah permohonan dibuat oleh Jersey.
Pelakon X-Men
Bingbing, yang mempunyai puluhan juta pengikut di Weibo dan jutaan lagi pengikut Instagram, sering disebut-sebut sebagai wajah budaya China global.
Filem lakonan Bingbing mencapai box-office melangkaui filem China, termasuk filem adiwira Hollywood X-Men: Days of Future Past, serta filem Perancis dan Korea.

Pada tahun 2017, majalah Time memaparkan potretnya di muka depan.
Dia juga menjadi satu-satunya pelakon Asia yang dipilih Times sebagai salah seorang individu paling berpengaruh di dunia.
