Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar puji PAS ada mekanisme tersendiri uruskan isu pemimpin
Diterbitkan:  May 15, 2026 9:35 AM
Dikemaskini: 1:55 AM
1

Annuar Musa memuji Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang didakwanya bertindak pantas serta tidak bersikap dalam penafian (in denial) semasa menguruskan isu salah seorang pemimpin parti itu, Nik Zawawi Salleh, beberapa hari lalu.

Menurut bekas Pengerusi Umno Kelantan dan Setiausaha Agung BN itu, kebanyakan parti politik bersikap mendiamkan diri apabila ada pemimpin mereka tersilap atau tersasul.

Bagaimanapun kata Annuar, keadaan PAS adalah berbeza sama sekali dan ia menjadi “kekuatan” parti tersebut.

“Dalam menilai permasalahan, DUPP mengambil pendekatan yang tidak bersifat in denial atau protective.

“DUPP juga menggunakan pendekatan menasihat dan memberi peringatan.

“Kebanyakan parti politik membisu bila pemimpin mereka khilaf atau tersasul tapi DUPP mengambil pendekatan yang tuntas.

“Ini satu kekuatan. Saya perhatikan PAS mempunyai mekanisme dalaman yang sangat utuh serta disiplin organisasi yang hebat,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.

PAS menjadi perhatian dan kritikan ramai apabila Nik Zawawi beberapa hari lalu didapati membuat ucapan yang dianggap menghina empat sahabat paling dekat Nabi Muhammad SAW, khususnya Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Nik Zawawi Salleh

Antara lain Nik Zawawi – yang pernah mengetuai sendiri DUPP – mendakwa Abu Bakar sebagai “bapa ceti” manakala Umar mempunyai kegemaran berzina semasa kedua-duanya belum memeluk Islam.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Puteh yang kini berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS sudah meminta maaf dan menarik balik kata-kata tersebut.

DUPP juga sebelum itu menyampaikan teguran terhadap Nik Zawawi.

Kata Annuar ketekalan usaha dakwah dan tarbiah dalam PAS menjadikan parti itu sebuah pertubuhan yang dihormati serta diberkati.

Dia yang mempunyai sejarah pertentangan panjang dengan PAS sebelum menyertai parti itu pada Jun 2023 menambah, setiap hari dan bulan pelbagai program dilaksanakan oleh mereka.

“Keaktifan ahli berjihad di medan dakwah adalah luar biasa.

“Mekanisme membimbing dan menegur seperti yang dibuktikan DUPP tempoh hari tidak kedapatan dalam mana-mana parti lain.

“Sesungguhnya ilmu dan dakwah sentiasa menjadi perkara utama dalam gerakan PAS.

Semoga Allah memberkati perjuangan ini,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat serta Ketua Penerangan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS