Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
1

Perikatan Nasional (PN) membatalkan surat kelulusan yang diberikan kepada MIC pada Disember tahun lalu untuk menyertai gabungan itu.

Pada Januari lalu, tiga sumber Bersatu dan PN mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa keputusan itu dicapai dalam mesyuarat majlis tertinggi PN yang berlangsung pada 9 Dis tahun lalu.

Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan PN pula memberitahu Malaysiakini bahawa rasa kecewa semakin memuncak terhadap kegagalan MIC membuat keputusan segera mengenai pendirian mereka, sekali gus mendorong keputusan sebulat suara dicapai dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Kami sudah menghantar surat meminta mereka menyatakan pendirian kerana kami telah memberi kelulusan tahun lalu untuk MIC menyertai PN dan jemputan itu bukan terbuka tanpa had masa.

“Jika majlis tertinggi PN sudah meluluskan, maka mereka perlu sertai kami segera. Tidak boleh tangguh ikut kehendak mereka.

“Jadi hari ini, memandangkan surat yang dihantar Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan tidak menerima sebarang maklum balas, kami sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kelulusan awal yang diberikan kepada mereka untuk menyertai PN,” katanya.

Sumber itu berkata sepucuk surat akan dihantar kepada MIC hari ini bagi memaklumkan parti berkenaan mengenai keputusan yang dibuat hari ini.

Pada November tahun lalu, pengerusi PN ketika itu Muhyiddin Yassin, mendakwa MIC telah memohon untuk menyertai PN.

Muhyiddin berkata majlis tertinggi PN akan meneliti perkara itu pada bulan berikutnya sebelum membuat keputusan rasmi.

Bagaimanapun, MIC kemudian menafikan pernah membuat sebarang permohonan untuk menyertai gabungan pembangkang itu.

Setiausaha Agung MIC S Ananthan menjelaskan surat yang dihantar kepada PN bukan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan itu, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum parti membuat sebarang keputusan.

Katanya, surat itu dihantar empat hari sebelum mesyuarat agung tahunan parti bagi membolehkan MIC memahami pendirian PN dengan lebih jelas.

Ananthan berkata langkah menghantar surat itu dibuat selepas beberapa pemimpin PAS, termasuk Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man, mengundang MIC mengadakan pertemuan dan mempertimbangkan untuk menyertai PN.

Menurutnya, MIC meminta penjelasan mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, termasuk isu pendidikan, sosioekonomi dan perwakilan politik.

SU agung PAS tegas MIC mohon sertai PN

Pada Mac tahun ini, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan menunjukkan kepada media sepucuk surat daripada Presiden MIC SA Vigneswaran yang menurutnya membuktikan parti itu memohon menyertai gabungan berkenaan, walaupun MIC menafikannya.

Semakan terhadap surat yang dikongsi Takiyuddin dilihat menyokong versi MIC namun dengan bahasa yang menunjukkan parti itu sedang mempertimbangkan secara serius untuk menyertai pakatan pembangkang tersebut.

“Pertama sekali, kami ingin merakamkan penghargaan atas peluang untuk dipertimbangkan bagi diterima semula ke dalam PN.

“Sebelum mengambil sebarang langkah positif ke arah kemasukan semula itu, kami memohon beberapa penjelasan bagi membolehkan kami membuat keputusan yang bermaklumat dan teliti, dengan mengambil kira semua manfaat dan hak yang kami layak terima sebagai salah satu pengasas bersama parti itu,” tulis Vigneswaran dalam surat berkenaan.

Takiyuddin berkata surat itu diserahkan sendiri kepada Muhyiddin pada 15 Nov tahun lalu.

Penggunaan istilah “kemasukan semula” dan rujukan kepada MIC sebagai “pengasas bersama” PN berkemungkinan merujuk kepada keadaan ketika MIC menjadi satu daripada empat parti yang secara rasmi memfailkan permohonan menyertai PN semasa gabungan itu didaftarkan pada Ogos 2020.

Bagaimanapun, MIC menarik balik permohonannya pada bulan sama selepas Umno enggan menyertai gabungan baru itu.

Dalam surat yang dirujuk Takiyuddin, Vigneswaran menggariskan empat persoalan yang mahu dipenuhi MIC sebelum memutuskan untuk menyertai PN “semula”.

Susulan penyerahan surat itu, PN berkata pihaknya menerima MIC sebagai ahli pada Disember, dengan keputusan itu disahkan pada 14 Mac.

Namun, MIC berulang kali menafikan surat yang dihantar kepada gabungan itu merupakan permohonan untuk menyertai PN. MIC sejak itu dilaporkan memutuskan untuk tidak meneruskan penyertaan dalam PN dan kekal bersama BN buat masa ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS