Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: BN bergerak solo, tanding semua kerusi
Diterbitkan:  May 16, 2026 4:59 PM
Dikemaskini: 9:48 AM
1

BN akan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi menerusi satu hantaran di Facebook petang ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti serta setelah mengambil kira pandangan dan suara rakyat Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Bagi Umno dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan tanda-tanya mengenai kerjasama antara BN dan PH dalam pilihan raya negeri tersebut.

Ia juga dibuat sehari sebelum PH mengadakan konvensyen di Johor Bahru, yang dijangka membincangkan strategi menghadapi pilihan raya negeri akan datang serta persiapan jentera pilihan raya mereka.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat, sebelum ini dipetik berkata, konvensyen itu akan menjadi platform penting untuk menentukan hala tuju kerjasama antara PH dan BN, termasuk bagi menghadapi pilihan raya negeri.

BN dan PH merupakan sekutu di peringkat persekutuan selepas bergabung membentuk kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum 2022, namun situasi yang sama tidak berlaku di Johor apabila BN menguasai majoriti kerusi DUN.

Gabungan itu menang 40 daripada 56 kerusi dalam PRN Johor pada 2022, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga yang membolehkannya membentuk kerajaan negeri tanpa PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS