Paling Popular
Terkini

PH dijangka menjadikan konvensyen di Johor Bharu hari ini sebagai pentas untuk menggembleng semula kekuatan parti komponennya selepas tiga tahun menerajui kerajaan Persekutuan.

Pengerusi PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa, berkata konvensyen tersebut dijangka menghimpunkan lebih 5,000 pimpinan dan anggota PH dari seluruh negara.

Menurutnya, gerak kerja sedang dilaksanakan di segenap peringkat bagi memastikan kejayaan program itu dari segi kehadiran serta pengisiannya.

“Konvensyen PH akan mengumpulkan bukan sahaja seluruh kepimpinan PH bahkan anggota daripada ketiga-tiga parti komponen dari seluruh negara.

“Saya menjangkakan kehadiran akan melebihi 5,000 orang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Konvensyen itu turut dilihat sebagai medan penting bagi PH menyusun gerak kerja strategik bagi menghadapi PRU, termasuk pilihan raya negeri (PRN) yang bakal dilaksanakan di Johor dan Melaka.

Dr Zaliha Mustafa

Zaliha berkata, PH bersedia menghadapi apa juga bentuk pertembungan dan senario politik yang bakal berlaku.

“Ia juga menjadi ruang menyediakan anggota PH bersiap menghadapi bukan sahaja PRN Johor dan Melaka, bahkan juga pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Pemilihan Johor sebagai tuan rumah konvensyen juga dianggap signifikan memandangkan negeri itu sering dilihat sebagai antara medan utama persaingan politik nasional.

Menurut Zaliha, keputusan kepimpinan pusat memilih Johor membuktikan komitmen serta kesiapsiagaan PH negeri berkenaan untuk memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah dan menghadapi kemungkinan PRN Johor dalam masa terdekat.

“Sudah tentu ini juga membuktikan komitmen dan kesediaan PH Johor dalam memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah serta menyatakan kesediaan semua pihak berdepan dengan PRN Johor yang hanya menunggu masa sahaja,” katanya.

Konvensyen PH 2026 berlangsung sehari suntuk di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, dengan tema Tekad Madani, Harapan Rakyat.

Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijadual hadir menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan.

Turut dijangka hadir ialah pimpinan utama PH bagi memperkukuh kesatuan serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa.

Untuk rekod, kali terakhir PH mengadakan peringkat kebangsaan ialah pada 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS