Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memuji "keberanian" Perdana Menteri Anwar Ibrahim memimpin langkah membenarkan kemasukan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke empat kursus di universiti awam berkaitan pengajian Cina.

Loke berkata, tidak seperti pendahulu Anwar, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu telah menunaikan janjinya untuk menyediakan laluan kepada graduan UEC untuk memasuki universiti awam.

"Jangan kita terperangkap dalam isu-isu ini. UEC ini isu pendidikan. Akses kepada pendidikan," kata Loke dalam ucapannya semasa konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor petang tadi.

Khamis lalu Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan bahawa graduan yang menduduki UEC layak memohon bagi program Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian dan Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina.

Program lain yang turut ditawarkan ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Semalam, Anwar berkata kemasukan graduan UEC ke universiti awam tertakluk kepada syarat ketat, termasuk lulus wajib Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata perkara itu sama seperti syarat yang dikenakan kepada pemohon dari luar sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam ucapannya, Loke menegaskan bahawa DAP akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sambil berseloroh dengan menjadikan dirinya sebagai contoh.

"Tengok saya punya slaid semua pakai bahasa Melayu. Menteri daripada Keadilan (PKR) pun tak pakai bahasa Melayu. Tadi dia punya slaid pakai bahasa Inggeris,” katanya sambil disambut gelak ketawa.

Tidak jelas menteri mana yang dimaksudkannya.

Keputusan mengiktiraf sijil UEC menerima kritikan daripada beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Fadhli mendakwa kerajaan mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu kemasukan lepasan UEC ke universiti awam dengan menyebut pelajar tahfiz dalam kenyataan mereka, manakala Muhyiddin pula berkata ia akan mewujudkan layanan dua darjat dalam penilaian kemasukan universiti awam.

‘Hipokrit’

Membalas kritikan itu, Loke menyifatkan sebahagian pengkritik berkenaan sebagai “hipokrit”.

Dia berkata pemimpin pembangkang seperti Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini pernah menyokong inisiatif tersebut ketika parti mereka bekerjasama dengan PH.

Manakala pemimpin lain seperti Presiden MCA, Wee Ka Siong pula tidak melakukan apa-apa walaupun telah berdekad berada dalam kerajaan, tambahnya.

‘Ada MP PH minta Zambry letak jawatan’

Bagaimanapun, dia berkata terdapat juga dalam kalangan pimpinan PH menentang langkah itu, sehingga ada yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir meletak jawatan.

"Saya nak ingatkan juga. Bukan saja tokoh-tokoh daripada parti lawan. Malah ada ahli parlimen kita sendiri, dia juga lupa kita punya manifesto.

"Ada ahli parlimen minta Menteri Pendidikan letak jawatan. Saya kata kalau kamu tak angkat manifesto Pakatan Harapan yang memenangkan kamu, kamulah yang patut letak jawatan," katanya.

Dia berkata pengiktirafan UEC merupakan sebahagian janji PH kepada rakyat yang terkandung dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

Perdebatan mengenai UEC kembali menjadi perhatian umum selepas DAP memulakan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan sijil tersebut sebagai sebahagian agenda reformasi susulan kekalahan besar dalam pilihan raya Sabah.

Selain itu kerajaan turut bersetuju membuka laluan kemasukan bagi pelajar dari sekolah tahfiz atau institusi berkaitan.

Calon dari aliran ini yang juga memiliki kelayakan penuh SPM boleh memohon mana-mana program yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline.

Ia berdasarkan pengiraan merit mengikut pakej subjek yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan serta tertakluk kepada syarat am dan khas program yang ditetapkan universiti melalui proses pemilihan berasaskan merit.