Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi, Nik Nazmi keluar PKR: Saya tak follow lagi, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia belum mengikuti perkembangan berkaitan pengumuman Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengosongkan kerusi masing-masing serta langkah mereka untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia.

“Saya tak follow lagi,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Dewan Terbuka, Desa Mutiara Tebrau, lewat petang tadi.

Terdahulu, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi dilaporkan mengumumkan keluar daripada PKR sekali gus mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa Isnin.

Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik yang berlangsung di Petaling Jaya.

Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul pada Isnin, manakala pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh akan dibuat pada Selasa.

Ujarnya langkah itu bagi membolehkan ia tidak dilihat sebagai lompat parti kerana menghormati mandat yang dimenangi atas tiket PKR dan PH.

Pada sidang media sama, mereka turut mengumumkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Untuk rekod, Bersama merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata isu pengosongan kerusi berkenaan perlu diteliti termasuk dari sudut perundangan dan keputusan Speaker Dewan Rakyat.

“Mungkin ada implikasi dari segi perundangan. Itu kena lihat. Pihak speaker kena buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bagaimanapun, Loke berkata prinsip asasnya ialah seseorang wakil rakyat yang menang atas tiket parti perlu kekal sehingga tamat penggal.

“Tapi sepatutnya kita kena menghormati proses bahawa apabila kita telah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga pilihan raya.

“Walaupun saya menghormati pendirian beliau (Rafizi), mungkin dia kata dah kecewa dan sebagainya, tapi sepatutnya kena kekal sehingga akhir penggal.

“Sebab sekarang dah lebih tiga tahun. Letak jawatan pun tak ada pilihan raya kecil.

“Jadi sepatutnya prinsip dia adalah apabila kita dah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga akhir penggal sekurang-kurangnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS