Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan menerima hasrat Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengosongkan kerusi masing-masing serta keluar daripada parti itu.
Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata berdasarkan rakaman ucapan kedua-dua bekas pemimpin kanan parti berkenaan dan susulan pengisytiharan itu, keanggotaan Rafizi serta Nik Nazmi gugur berdasarkan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan KEADILAN.
“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa kerusi Ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Johari Abdul mengenai status mereka berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata PKR akan turut meneliti status keanggotaan Ahli Parlimen parti itu yang menghadiri program Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi hari ini.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.
Rafizi berkata beliau dan Nik Nazmi akan menulis surat mengenai keputusan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat esok manakala surat peletakan jawatan dan keluar parti akan diserah kepada Fuziah pada Selasa.
Pada masa sama, Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih Parti Bersama Malaysia daripada Pengasas yang juga Presidennya, Tan Gim Theam sebagai wadah baharu perjuangan politik mereka.
- Bernama
