Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papagomo diarah bayar RM280,000 pada Guan Eng, anak
1

Penulis blog, Wan Azri Wan Deris, hari ini diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membayar RM280,000 kepada Lim Guan Eng dan anak Ahli Parlimen Bagan itu, Clint Lim Whay Cau.

Keputusan itu dibuat hakim Roslan Mat Nor yang membenarkan saman fitnah difailkan pasangan bapa dan anak terbabit terhadap defendan yang lebih dikenali sebagai Papagomo.

Dalam penghakimannya Roslan mengarahkan Wan Azri membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selain RM30,000 sebagai kos kepada Guan Eng.

Untuk Whay Cau pula, hakim mengarahkan Wan Azri membayar ganti rugi RM80,000 beserta kos RM10,000.

Guan Eng dan Whay Cau memfailkan saman ke atas Wan Azri pada 15 Okt 2020 dengan mendakwa defendan membuat kenyataan berunsur fitnah.

Wan Azri dikatakan membuat kenyataan bahawa Whay Cau ditahan di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 29 Feb 2020, kononnya kerana membawa wang tunai bernilai RM2 dan gagal mengisytiharkannya kepada pihak berkuasa negara tersebut.

Semasa membenarkan saman berkenaan, hakim berkata bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan kes menunjukkan bahawa defendan adalah individu yang menguruskan laman Facebook yang menjadi tempat kenyataan berkenanan diterbitkan.

Roslan juga menolak hujah defendan bahawa saman yang difailkan terhadapnya bermotifkan politik.

“Apa yang lebih penting ialah mahkamah perlu memberi tumpuan kepada isu fitnah dan tidak dipengaruhi oleh isu politik atau pengaruh luaran.

“Keputusan mesti berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah ini,” katanya.

Mahu kemukakan rayuan

Mahkamah juga tidak menerima pembelaan justifikasi dan aspek komen adil apabila Wan Azri mendakwa dakwaan itu bukan berasal daripada dia tetapi terbitan semula laporan pihak ketiga.

“Bolehkah seseorang yang menerbitkan semula catatan di media sosial bergantung pada pembelaan justifikasi hanya kerana adanya platform media sosial?

“Pada pandangan mahkamah, seseorang yang menerbitkan semula sesuatu catatan memikul tanggungjawab yang sama seperti pihak yang memulakan penerbitan itu.

“Oleh itu, orang sedemikian tidak boleh terlepas daripada liabiliti. Justeru penting bagi individu yang menerima kenyataan yang tidak dapat disahkan kebenarannya untuk tidak menerbitkan ia dengan sewenang-wenangnya,” kata Roslan.

Guan Eng dan Whay Cau memfailkan saman terhadap Wan Azri pada 15 Okt 2020 susulan hantaran di laman Facebook Papa Azri yang kemudiannya dipastikan oleh mahkamah sebagai laman peminat Wan Azri.

Pasangan bapa dan anak itu mendakwa kenyataan berkenaan sebagai suatu pembohongan yang telah mencemarkan reputasi mereka.

Dalm pemfailan mereka, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Simon Murali mewakili Lim dan anaknya, manakala Logen Eskandar bertindak sebagai peguam bela Wan Azri dalam prosiding hari ini.

Ditemui Malaysiakini selepas itu, Logen memberitahu, mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Roslan.

“Kami akan memfailkan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah hari ini, dan juga rayuan terhadap penghakiman tersebut,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS