Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Harimau tak ubah belang', Guan Eng label Khairy, Umno progresif palsu
Diterbitkan:  May 19, 2026 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Bekas menteri Khairy Jamaluddin dan Umno disifatkan ibarat "harimau yang tidak akan mengubah belangnya" susulan tindakan mereka mempertahankan gaya politik Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sambil menyatakan rasa kecewa terhadap Khairy yang dilihat cuba menghalalkan politik "perang budaya" yang dibawa oleh Pemuda Umno, penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, pendirian itu amat berbeza dengan dirinya semasa dipecat oleh Ahmad Zahid Hamidi dan sebelum menyertai Umno semula.

Lim Guan Eng

Khairy yang juga adalah bekas ketua Pemuda Umno sebelum ini mendakwa pendekatan kontroversi Akmal masih diperlukan bagi mendepani ancaman politik sayap kanan daripada Perikatan Nasional (PN).

"Dua kesilapan tidak menghasilkan satu kebenaran. 

“Sekiranya PN salah kerana terlibat dalam tindakan pelampau dan gaya kontroversial untuk memperkukuh sokongan nasionalis Melayu, maka adalah sama salahnya bagi pemimpin Pemuda Umno untuk mengikut jejak langkah tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

KJ, Umno "progresif palsu"

Menurut Lim, tindakan Khairy untuk "membersihkan" kelakuan Akmal yang dianggap tidak bertanggungjawab itu menjadi bukti jelas bahawa kedua-dua pihak adalah "progresif palsu".

Mengulas mengenai perubahan imej politik Khairy yang disifatkannya jauh berbeza berbanding sebelum menyertai semula Umno, Lim mengimbau bagaimana Khairy sebelum ini sering menampilkan imej politik yang moderat, tidak berasaskan perkauman, serta memperjuangkan dasar progresif yang adil untuk semua rakyat Malaysia.

Selain isu Khairy, Lim turut mengkritik hala tuju politik Umno yang didakwanya sanggup mengetepikan rakan gabungan demi mengejar kuasa.

Dia membangkitkan cubaan rampasan kuasa yang gagal di Negeri Sembilan serta pengumuman sepihak BN dan Umno untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri akan datang sebagai bukti "belang" sebenar parti itu.

Khairy Jamaluddin

"Bagi mereka yang meletakkan sedikit jangkaan dan harapan kepada Khairy, kini boleh melihat bahawa kedua-dua Khairy dan Umno telah membuktikan bahawa harimau tidak akan mengubah belangnya," tegas Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS