Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan NS mahu adakan sidang sebelum DUN terbubar sendiri
Diterbitkan:  May 20, 2026 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun memberi bayangan dewan undang negeri (DUN) itu tidak akan terbubar secara automatik kerana kegagalan bersidang disebabkan krisis yang melanda.

Sebaliknya, Aminuddin berkata, dia akan berusaha untuk memanggil sidang DUN dalam tempoh enam bulan ini sebelum ia terbubar secara automatik.

Katanya, DUN Negeri Sembilan akan terbubar sendirinya dan membawa kepada pilihan raya negeri (PRN) sekiranya gagal bersidang selewat-lewatnya 24 Okt nanti.

"Kita akan cari tarikh yang sesuai (untuk adakan sidang DUN)... ada enam bulan lagi. Maka bulan 10... 24 Okt, kalau kita tak buat sidang DUN dia akan terbubar sendirinya.

"Insya-Allah kita akan adakan sidang DUN," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Seremban hari ini.

Untuk rekod, sidang DUN Negeri Sembilan yang berlangsung 23 Apr lalu ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian susulan konflik berterusan di antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan ketua-ketua wilayah.

Keputusan itu dibuat oleh Speaker DUN, MK Ibrahim Abd Rahman, selepas majlis pembukaan dewan diboikot oleh Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin, yang mendesak Tuanku Muhriz melepaskan jawatannya.

Untuk rekod pertikaian itu bukanlah satu-satunya isu yang dihadapi kerajaan negeri yang diterajui PH. Pada masa sama Aminuddin juga baru-baru ini berdepan dengan cubaan menjatuhkannya apabila 14 Adun BN menarik sokongan mereka daripada Pengerusi PH Negeri Sembilan itu.

Mengulas lanjut Aminuddin turut tidak menolak kemungkinan PRN akan diadakan awal selepas belanjawan negeri diluluskan seperti yang berlaku pada persidangan parlimen sebelum ini.

Dia juga turut tidak menolak kemungkinan PRN Negeri Sembilan turut diadakan serentak dengan PRN Melaka.

"Kita tengoklah keadaan, saya rasa pilihan raya umum (PRU) dah dekat, saya rasa, saya bukan perdana menteri.

"Kita tengok rakan kita, jiran kita (Melaka) bila pilihan raya kita sekalikan mungkin, Insya-Allah," katanya lagi.

Untuk rekod Ketua Menteri Melaka, Abdul Rauf Yusoh sudah memberi bayangan PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh empat bulan.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Adun BN Negeri Sembilan susulan krisis yang tercetus, Aminuddin berkata sehingga kini belum ada pertemuan dengan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS