Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak rancang tubuh agensi angkasa sendiri
Diterbitkan:  May 20, 2026 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Sarawak merancang untuk menubuhkan agensi angkasa sendiri, kata Premier Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya agensi itu akan menjadi entiti penyelarasan utama dengan peranan merancang, menjalin kerjasama dan membangunkan keupayaan tempatan.

“Selain itu, Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak (SAAC) telah ditubuhkan untuk menyediakan hala tuju strategik dan panduan komprehensif dalam memacu penubuhan sektor aeroangkasa Sarawak selaras dengan piawaian industri global semasa,” katanya.

Abang Johari berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Yang di-Pertua Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak juga menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama menjelang 2030 melalui teknologi berasaskan CubeSat yang melibatkan penggunaan satelit kecil untuk data masa nyata dan pemerhatian bumi.

“Sarawak akan mempunyai keupayaan untuk membangunkan satelit sendiri bagi mendapatkan imej bumi, data geolokasi dan maklumat strategik untuk perancangan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan sumber,” katanya.

Sementara itu, berhubung AirBorneo, Abang Johari berkata, syarikat penerbangan itu sedang dibangunkan secara berperingkat dengan fasa satu menumpukan kepada penyatuan operasi obligasi perkhidmatan awam untuk menyediakan perkhidmatan laluan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Pada fasa kedua, katanya, AirBorneo akan memperluas operasi ke laluan komersial domestik dan serantau berdasarkan permintaan pasaran dan ketersediaan pesawat.

“Untuk operasi awal jet, AirBorneo merancang untuk memulakan laluan sasaran dari Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Jakarta (Indonesia) dan Singapura menjelang Julai 2026.

“Menjadi visi kami untuk menghubungkan Sarawak dengan bandar utama.

“Melalui hubungan udara secara langsung, AirBorneo akan meningkatkan kesalinghubungan rakyat negeri ini, pelabur dan pelancong selain mewujudkan peluang baru untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS