Polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua susulan hantaran di akaun Facebook miliknya yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan institusi raja berperlembagaan dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan dijalankan selepas polis menerima 28 laporan di seluruh negara berhubung hantaran terbabit,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.
Kumar berkata polis akan memanggil semua pihak yang terlibat termasuk bekas ahli parlimen itu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa seseorang raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami serta menghayati makna Rukun Negara.
- Bernama
