Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS kerah kapal induk pesawat udara susulan ketegangan dengan Cuba

Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Rabu bahawa Kumpulan Serangan Kapal Induk Pesawat Udara USS Nimitz telah tiba di Caribbean susulan ketegangan yang memuncak antara AS dan Cuba, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kapal induk pesawat udara USS Nimitz (CVN 68), Carrier Air Wing 17 (CVW-17) yang beroperasi dari kapal induk itu, USS Gridley (DDG 101) dan USNS Patuxent (T-AO 201) melambangkan kesiapsiagaan dan kehadiran strategik pada tahap tertinggi, selain keupayaan operasi serta kekuatan tempur yang tiada tandingan dan kelebihan strategik,” menurut Markas Pemerintahan Selatan AS dalam kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X.

Menurut kenyataan itu, USS Nimitz “telah membuktikan keupayaan tempurnya di seluruh dunia, memastikan kestabilan dan mempertahankan demokrasi dari Selat Taiwan hingga ke Teluk Arab.”

Pengerahan itu dilakukan pada hari yang sama pentadbiran Trump mengumumkan pertuduhan jenayah terhadap bekas Presiden Cuba Raul Castro berhubung dakwaan peranannya dalam insiden dua pesawat awam milik kumpulan buangan Brothers to the Rescue yang berpangkalan di Miami ditembak jatuh pada 1996, mengorbankan empat individu termasuk tiga rakyat Amerika.

Presiden AS Donald Trump berulang kali menyatakan bahawa Cuba adalah “seterusnya” selepas operasi ketenteraan terhadap Iran dan mendakwa negara pulau yang ditadbir komunis itu akan tumbang “tidak lama lagi”.

Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel awal minggu ini berkata Cuba mempunyai “hak mutlak dan sah” untuk mempertahankan diri daripada sebarang serangan ketenteraan, sambil memberi amaran tindakan sedemikian akan mencetuskan “pertumpahan darah dengan akibat yang sukar dijangka”.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS