Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 ditahan bantu siasatan kes letupan tong gas helium
Diterbitkan:  May 22, 2026 8:44 AM
Dikemaskini: 12:44 AM

Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan tong gas helium yang mengorbankan seorang peniaga di tapak ekspo berdekatan sebuah pasar raya dekat Sungai Petani malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kedua-dua individu yang ditahan itu masing-masing berumur 20-an serta 40-an.

Ketika ini, katanya, siasatan masih di peringkat awal bagi menentukan punca kejadian.

Hanyan berkata kawasan sekitar lokasi kejadian akan ditutup kepada aktiviti perniagaan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada proses siasatan.

"Polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian, maka kami minta semua peniaga hentikan dahulu perniagaan.

“Apabila dah selesai, polis akan serah balik kepada penganjur untuk teruskan acara ini," katanya pada sidang media di Sungai Petani.

Hanyan menambah polis sedang mengenal pasti pemilik tong gas helium berkenaan.

"Polis percaya ada lagi pengunjung yang mengalami kecederaan tetapi mungkin ia ringan menyebabkan mereka meninggalkan tempat kejadian.

"Oleh sebab itu saya minta mereka yang cedera itu datang ke balai berdekatan untuk membantu kami menjalankan siasatan," katanya.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata letupan tong gas helium itu mengakibatkan serpihannya melayang jauh dan terkena beberapa mangsa.

Sebahagian daripada serpihan itu, katanya, terbang sejauh 100 meter dari kedudukan tong gas helium tersebut dan terkena seorang lelaki yang sedang berniaga.

"Akibat serpihan, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan juga dada sebelah kanan. Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Hanyan berkata kes itu disiasat sebagai mati mengejut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh berkata pihaknya menerima panggilan menerusi sistem NG 999 pada jam 7.52 malam.

Katanya letupan dipercayai melibatkan satu unit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan.

“Seorang lelaki berusia 42 tahun dikenali sebagai Azmi Ahmad dilaporkan meninggal dunia manakala tiga lagi mangsa termasuk remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya seorang mangsa yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan pada bahagian belakang, manakala mangsa berusia 49 tahun cedera pada bahagian perut.

Siti Norafiza juga memberitahu kecederaan remaja lelaki terbabit belum dapat dikenal pasti kerana dia gagal dikesan selepas kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS