Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber Bersatu: PN tidak beramal dengan sistem mullah

Sumber dalaman Bersatu mendedahkan isu yang yang dibangkitkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kelmarin sebenarnya sudah diselesaikan secara konsensus selepas dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Dia turut menegaskan dan mengingatkan PAS bahawa PN sebuah organisasi yang ditadbir mengikut semangat kerjasama dan persefahaman antara anggotanya, bukan ditentukan oleh seseorang secara mutlak.

Kerana itulah, katanya, PN mempunyai pelbagai jawatan termasuk pengerusi.

“Jika PAS faham kaedah berorganisasi, faham Perlembagaan PN dan faham kaedah bekerja dalam pasukan, mereka tentu tahu bahawa sesuatu perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat MT PN, maka majlis presiden boleh bersidang untuk membuat keputusan muktamad.

“Bercakap tentang hal dalaman kepada orang luar bukanlah caranya. Presiden PAS juga tiada kuasa veto untuk membatalkan keputusan MT.

“PN tidak guna sistem mullah,” kata sumber itu – yang enggan didedahkan identitinya – kepada Malaysiakini semalam.

Sistem ‘mullah’ merupakan amalah pentadbiran atau pemerintahan yang didominasi oleh golongan ulama dalam politik dan negara. Biasanya ia dikaitkan dengan negara seperti Iran.

Kelmarin Abdul Hadi memberitahu media yang PAS tidak berpuas hati terhadap beberapa langkah diambil Bersatu walaupun kedua-duanya menjadi parti teras dalam PN.

Menyatakan bahawa PAS akan “mengajar” parti tersebut “satu per satu” Ahli Parlimen Marang itu memetik beberapa insiden yang menyebabkan mereka tidak berpuas hati dan hampir hilang sabar.

Kekangan kuasa pengerusi

Antaranya pertukaran penyandang Menteri Besar Perlis, keengganan menerima parti baru dalam PN, serta tindakan dua Adun Bersatu Negeri Sembilan yang membatalkan sokongan mereka kepada usaha BN menjatuhkan menteri besar, Aminuddin Harun.

Bersatu kemudian memaklumkan mereka memandang serius kenyataan dibuat Abdul Hadi dan berpendapat sebarang isu berbangkit sepatutnya ditangani atas semangat setiakawan demi memperkukuh PN.

Biro politik parti itu juga akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk meneliti kenyataan dibuat Abdul Hadi.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kemudian mengeluarkan arahan kepada ahli parti tersebut agar tidak mengulas isu terkini tanpa mendapat kebenaran daripada parti.

Mereka juga diminta agar kekal tenang dan menyerahkan urusan parti kepada Abdul Hadi dan pemimpin lain yang “akan menguruskannya dengan cermat dalam masa terdekat.”

Menurut sumber Bersatu itu, partinya berpendapat penting jawatan Pengerusi PN dilantik daripada kalangan presiden parti kerana mereka memiliki kuasa eksekutif, justeru sebarang keputusan yang dicapai dalam MT PN boleh segera dimuktamadkan.

Katanya, atas faktor itulah isu yang diputuskan oleh MT PN sebelum ini gagal diuruskan seperti sepatutnya.

“Salah satu sebab mengapa perkara ini tidak dapat dimuktamadkan ialah kerana Pengerusi PN hanya lame duck dan berstatus naib presiden sahaja.

“Dia tidak boleh melangkaui dua kuasa dalam PAS, iaitu presiden dan Majlis Syura Ulama,” katanya merujuk kepada Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebab kedua pula, tambah sumber berkenaan, melibatkan Abdul Hadi sendiri.

“Sebab kedua kenapa keputusan susah dimuktamadkan di pihak PAS walaupun selepas MT PN mencapai konsensus ialah kerana Presiden PAS sendiri bukan anggota Majlis Tertinggi PN dan tidak hadir dalam mesyuarat badan itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS