Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS, Iran hampir meterai perjanjian buka semula Selat Hormuz
Diterbitkan:  May 24, 2026 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

GLOBAL | Washington dan Iran hampir menandatangani lanjutan gencatan senjata selama 60 hari yang akan membuka semula Selat Hormuz sekali gus membolehkan Iran menyambung semula jualan minyak dan mewujudkan ruang rundingan mengenai program nuklearnya, kata pegawai AS yang mengetahui draf perjanjian itu.

Katanya, perjanjian yang dicadangkan itu belum dimuktamadkan dan mungkin diumumkan seawal Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik laman berita Axios.

Bagaimanapun, agensi itu melaporkan, pegawai terbabit memberi amaran bahawa perjanjian itu masih boleh gagal sebelum ia ditandatangani.

Di bawah draf memorandum persefahaman itu, lapor agensi berita tersebut, Iran akan membersihkan periuk api dari Selat Hormuz dan membenarkan kapal melaluinya tanpa dikenakan tol.

Sebagai balasan, Washington akan menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran dan mengeluarkan pengecualian sekatan terhad yang membenarkan Tehran menjual minyak secara bebas dalam tempoh 60 hari.

Seorang pegawai AS menyifatkan aturan itu “kelonggaran sebagai balasan kepada tindakan” sambil berkata kelegaan kelonggaran ekonomi akan menyusul selepas langkah konkrit Iran, bukannya diberikan lebih awal.

Draf itu turut merangkumi komitmen Tehran untuk tidak membangunkan senjata nuklear dan berunding mengenai penggantungan pengayaan uranium serta pelupusan simpanan uranium diperkaya tinggi miliknya.

Sebarang pelonggaran sekatan yang lebih luas atau pembekuan aset Iran pula akan dibincangkan dalam tempoh gencatan senjata, tetapi hanya akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir yang disahkan.

Pasukan AS yang dikerah ke rantau itu akan kekal berada di sana sepanjang tempoh 60 hari dan hanya akan berundur sekiranya perjanjian akhir dicapai.

Perjanjian itu juga dilihat berkait dengan usaha menamatkan perang antara Israel dan Hizbullah di Lubnan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan membangkitkan kebimbangan mengenai syarat itu dalam panggilan telefon kepada Donanld Trump semalam.

Seorang pegawai AS berkata Israel masih dibenarkan bertindak jika Hizbullah cuba mempersenjatai semula atau menyambung serangan.

Beberapa pemimpin Arab dan Islam termasuk pegawai dari Arab Saudi, Qatar, Mesir, Turkiye, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu menyokong usaha diplomatik itu.

Pakistan pula memainkan peranan sebagai perantara utama, dengan Marsyal Medan Asim Munir melakukan perjalanan ke Tehran dalam usaha membantu memuktamadkan perjanjian tersebut.

Rumah Putih berharap isu yang berbaki dapat diselesaikan dalam beberapa jam namun pegawai AS berkata gencatan senjata itu boleh berakhir lebih awal jika Washington merumuskan bahawa Iran tidak serius dalam rundingan nuklear.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS