Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zawawi patut dipecat dari Majlis Syura - Amanah
Diterbitkan:  May 25, 2026 2:02 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Amanah menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap PAS yang dilihat tidak tegas terhadap ulamanya Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyatakan fakta salah berkaitan sahabat Nabi Muhammad.

Parti Islam bekas serpihan PAS itu berkata, Zawawi sepatutnya sudah dipecat serta-merta atau direhatkan daripada Majlis Syura–badan tertinggi pembuat dasar dalam PAS.

“Tindakan sekadar memberi teguran lisan memberi isyarat yang salah bahawa marwah agama boleh dikompromi demi menjaga keharmonian politik dalaman dan Imej luaran PAS,” kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar, yang puluhan tahun bergiat bersama PAS sebelum ini.

Nik Muhammad Zawawi Salleh

Jumaat lepas, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata sudah memberi peringatan kepada Zawawi yang juga anggota parlimen Pasir Puteh.

Hadi berkata Zawawi mungkin dipengaruhi oleh penulisan sejarah yang disifatkannya “bebas dan mengandungi cerita dongeng”, serta tidak boleh dijadikan dalil (hujah).

‘Bukan keterlanjuran kecil’

Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz berkata dia kecewa dengan Hadi kerana sekadar memberikan "peringatan" tanpa sebarang tindakan disiplin tegas. 

Katanya, Kesilapan membawa naratif yang didakwa menghina dan memfitnah sahabat besar Muhammad bukan keterlanjuran kecil atau isu khilafiah (ranting). 

“Ia melibatkan asas akidah dan penghormatan kepada institusi keagamaan yang menjadi pasak umat Islam,” katanya.

Mahfuz juga menolak penjelasan bahawa Zawawi "terpengaruh dengan penulisan sejarah" sebagai pembelaan yang sangat lemah dan tidak munasabah bagi seorang tokoh yang memegang jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama. 

“Sebagai badan tertinggi yang menapis dasar dan fatwa parti, rakyat berhak mempersoalkan: 

“Bagaimanakah seorang yang gagal menapis kisah dongeng sejarah boleh diletakkan sebagai ketua pentadbir kepada institusi ulama?” katanya.

Mahfuz juga berkata “tolak-ansur yang melampau” itu mendedahkan wujudnya amalan dwistandard dalam kepimpinan PAS. 

“Parti yang sering mendakwa sebagai pembela agama ini dilihat memilih bulu; bersikap agresif apabila mengkritik pihak lawan, namun bertukar menjadi apologetik dan pelindung apabila kesalahan besar dilakukan oleh pemimpin kanan sendiri,” katanya.

Amanah menuntut tindakan tegas polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan tanpa campur tangan atau “perlindungan politik”.

“Tanpa sebarang Pendakwaan akan menyebab golongan seperti ini merasakan mereka saja yang menjadi penentu kepada kesucian Islam,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS