Seorang anggota parlimen DAP mahu tindakan tegas diambil terhadap pengurusan tertinggi dan kakitangan Penjara Taiping yang terbabit dalam salah guna kuasa dan salah laku yang didedahkan semasa inkuiri awam Suhakam.
Lim Lip Eng menyifatkan rumusan itu sebagai "memalukan, menjijikkan dan amat membimbangkan".

"Pengurusan tertinggi Penjara Taiping tidak boleh melepaskan tanggungjawab terhadap apa yang dilihat sebagai percubaan menutup keganasan, laporan palsu dan penyalahgunaan senjata yang berlaku di bawah pengawasan mereka.
"Saya meminta hukuman tegas terhadap pengurusan tertinggi dan kakitangan penjara yang terlibat dalam insiden itu, termasuk penggantungan, tindakan tatatertib dan pendakwaan jenayah sekiranya kesalahan dinyatakan," kata anggota parlimen Kepong itu dalam satu kenyataan.
Lim menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh membiarkan penjara bertukar menjadi tempat tahanan "diseksa, diperangkap dan dibungkam".
Semalam, Suhakam mendedahkan penemuan inkuiri mereka berhubung rusuhan melibatkan lebih 100 banduan di Penjara Taiping pada Januari tahun lepas. Insiden itu berakhir dengan kematian seorang tahanan.
Suruhanjaya itu mendapati rusuhan berkenaan dicetuskan oleh pengurusan dan kakitangan penjara itu sendiri.
Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus berkata panel inkuiri menemui pelbagai tindakan penderaan fizikal yang dilakukan oleh kakitangan penjara terhadap banduan semasa insiden itu. Ia, termasuk menumbuk, menendang dan menyembur serbuk lada terhadap banduan yang sedang duduk dalam barisan dengan kedua-dua tangan mereka digari.

Suhakam memulakan inkuiri tersebut berikutan kematian banduan Gan Chin Eng, yang didakwa mati selepas diserang oleh warden penjara semasa rusuhan pada 17 Januari.
Hishamudin, yang mengetuai panel itu bersama pesuruhjaya Suhakam Farah Nini Dusuki, berkata anggota penjara yang terlibat dalam rusuhan itu menyerang banduan secara berulang kali. Mereka secara tidak bertanggungjawab dan sewenang-wenangnya menggunakan senjata seperti cotar, sehingga menyebabkan kecederaan parah, termasuk luka di kepala dan patah anggota badan.
Dia mendedahkan lagi bahawa inkuiri itu menemui beberapa kes kecuaian selepas insiden berkenaan, termasuk kelewatan dalam rawatan perubatan, salah diagnosis dan penyalahgunaan peralatan pemeriksaan perubatan.
Panel itu juga mengenal pasti pemalsuan dokumentasi dalam rekod perubatan banduan.
