Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua Adun Bersatu dipecat kekal jawatan kerajaan negeri - MB Kedah
Diterbitkan:  May 26, 2026 3:20 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata dua bekas adun Bersatu akan mengekalkan jawatan mereka dalam kerajaan negeri walaupun dipecat daripada parti itu.

Menurutnya, Adun Suka Menanti, Dzowahir Ghani akan terus berkhidmat sebagai exco negeri bagi pertanian, perladangan dan pengangkutan; serta Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis akan terus memegang jawatan timbalan speaker dewan undangan negeri.

Sanusi dilaporkan menyifatkan prestasi mereka memuaskan dan berkata tiada keperluan untuk menggantikan mereka.

“Kedudukan dua Adun tersebut kekal sampai sekarang. Tidak ada keperluan lagi untuk tukar, teruskan kerja macam biasa. Yang dipecat semua okey, kerja pun baik,” katanya.

Bersatu bergolak

Selain itu, Sekretariat Penerangan Darul Aman Kedah melaporkan Sanusi memberitahu mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Terengganu Ahad lalu bahawa pemecatan itu tidak menjejaskan kestabilan politik Kedah.

Menteri besar itu juga menolak dakwaan dia berada dalam tekanan susulan tindakan disiplin Bersatu terhadap dua wakil rakyat berkenaan.

“Tak ada tekanan apa-apa. Saya baik dengan semua orang, tak ada masalah apa-apa. Sebagai Menteri Besar, saya mahu pastikan keadaan negeri stabil, aman dan kerja berjalan lancar. Alhamdulillah, pentadbiran negeri berjalan dengan baik, rezeki pun melimpah ruah,” katanya, sambil menegaskan hubungan antara parti-parti komponen PN kekal mesra.

Sanusi menambah ucapannya dalam ceramah politik tidak harus dicampuradukkan dengan tugasnya sebagai menteri besar kerana dia juga bercakap atas kapasiti sebagai pengarah pilihan raya PAS.

“Sebagai Pengarah Pilihan Raya (PAS), saya ada watak lain.

"Kena pergi ceramah kerana watak itu ada di sana.

"Bila pakai topi itu, saya akan cakap tentang hal politik,” jelasnya.

Bersatu sebelum ini menggesa kerajaan Kedah menggantikan Dzowahir dan Abdul Razak sebelum pasangan itu dipecat pada 8 Mei mengikut perlembagaan parti kerana didakwa melanggar peraturan parti dan kod etikanya.

Tindakan disiplin itu turut menyaksikan enam lagi wakil rakyat Bersatu digantung selama dua penggal pemilihan parti.

Mereka termasuk Adun Chenderoh Syed Lukman Hakim Syed Zain, Adun Kuala Sepetang Ahmad Man, Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Rompin Khalib Abdullah, dan Ahli Parlimen Lumut Nordin Ahmad Ismail.

Sementara itu, tiga yang lain diberikan surat amaran - Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baru Roslan Hashim; Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salam; dan Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan.

Susulan pemecatan itu, Sanusi sebelum ini berkata kerajaan negeri akan mengambil langkah perlu, termasuk menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bagi membincangkan perkara berkenaan.

Dia juga menegaskan dua adun itu bukan sebahagian daripada pembangkang, sebaliknya wakil bebas yang sejajar dengan kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS