Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Fahmi Ngah menegaskan bahawa larangan 3R (Raja, Agama dan Bangsa) di Malaysia bukanlah konsep yang diimport dari Barat yang bercanggah dengan Islam,
Sebaliknya, katanya, ia selari dengan maqasid syariah untuk menjaga keharmonian masyarakat majmuk dan walaupun Islam menuntut umatnya memberi nasihat kepada pemimpin dan orang ramai namun perlu ditegaskan bahawa 3R adalah mekanisme menjaga keamanan.

"Hadis 'agama itu nasihat' yang dipetik (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang tetap terikat dengan prinsip tidak boleh membahayakan orang lain. Membangkitkan sentimen perkauman atau menghina raja-raja Melayu, bukan nasihat tetapi api fitnah yang boleh meruntuhkan keamanan negara.
"Islam melarang al-fasadu fil-ard (melakukan kerosakan di muka bumi). Bahkan dalam Islam menggariskan kesalahan bughah dan pencegahan yang boleh digubal oleh Ulil Amri. Menafikan 3R dalam konsep perundangan Islam sama seperti menafikan prinsip pencegahan yang bukannya asing dalam ajaran Islam
"Dalam konteks Malaysia, institusi Raja-Raja Melayu adalah penjaga agama Islam, pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT yang merupakan ulil amri, dan pemelihara adat Melayu yang menggariskan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam amalan tempatan Malaysia. Menghormati institusi ini adalah sebahagian daripada pemerintahan yang diiktiraf dalam politik Islam," katanya.
Dr Fahmi mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa tidak wujud istilah 3R dalam kerangka politik Islam.
Bagi mengukuhkan pendapat tersebut, ahli Parlimen Marang itu memetik hadis riwayat Muslim, sahih Muslim, Kitab al-Iman, no 55 daripada Tamim al-Dahri.
"Agama itu nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, Bagi siapa? Rasulullah menjawab, ‘Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin (pemerintah atau ketua negara), dan juga orang ramai’," tulis Abdul Hadi memetik hadis berkenaan.
"Nasihat itu bagi Allah, bagi Rasul, bagi para pemimpin Islam dan bagi umatnya. Maka, tidak ada yang dinamakan larangan 3R (Race, Religion, Royal) dalam politik Islam.
"Allah mengharamkan percakapan mengenai Islam tanpa ilmu," katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga pemimpin PKR berkata bahawa kerajaan negeri Selangor sendiri di bawah Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah amat tegas bahawa 3R bukan isu kebebasan, tetapi isu kedaulatan dan akhlak Islam.
"Ini adalah pandangan berautoriti yang tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Fahmi berkata, kerajaan Selangor di bawah gabungan PH dan BN mengamalkan amar ma’ruf nahi mungkar secara berhemah, bukan dengan menghina atau mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama.
Sebaliknya, katanya, pemimpin PAS itu perlu bermuhasabah, adakah selama ini mereka benar-benar mengamalkan nasihat, kerana umum tahu pemimpin parti itu terkenal dengan menghina, mencaci bahkan pernah satu ketika dulu, terpalit dengan isu takfir.
"Tiada sesiapa pun di Selangor atau Malaysia yang mengharamkan kritikan membina terhadap pemimpin.
Yang diharamkan ialah menghasut, mempermainkan isu perkauman, dan merendahkan institusi Raja," tambahnya.
