WAWANCARA | Pada 23 Mei 2023, ketika sebahagian dunia mula melupakan kemusnahan Taufan Mocha di Myanmar, wartawan foto Sai Zaw Thaike turun ke lapangan di negeri Rakhine demi melaksanakan tugasan rutin - merakam kesan bencana, mengumpul cerita manusia yang hilang tempat tinggal, keluarga dan kehidupan.
Hari itu juga menjadi titik yang mengubah hidupnya apabila pihak junta tentera Myanmar menahannya di Sittwe. Selepas tempoh tahanan reman dan soal siasat tanpa akses kepada peguam atau keluarga, tribunal tentera menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan kerja berat terhadap wartawan berkenaan pada September 2023.
Hampir tiga tahun kemudian, Sai masih berada di Penjara Insein, Yangon - yang sudah lama dikaitkan kumpulan hak asasi manusia dengan tahanan politik, aktivis dan pengkritik kerajaan tentera Myanmar.
Di balik jeriji besi itu, pertubuhan Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) mendedahkan Sai Zaw Thaike kini bukan sekadar menjalani hukuman penjara dan penyiksaan tetapi juga bertarung dengan penyakit yang boleh meragut nyawanya.

"Sekarang masa paling berbahaya untuk menjadi wartawan," kata Pengarah Asia-Pasifik CPJ, Beh Lih Yi yang mendedahkan akses rawatan terhadap Sai dinafikan.
Kisah Sai bukan sekadar mengenai seorang wartawan Myanmar, kata Beh kerana ia cerminan sesuatu yang lebih besar, cabaran serta risiko pengamal media di seluruh dunia.
"Kami mahu menyuarakan amaran mengenai keadaan Sai Zaw Thaike kerana situasinya mendesak.
"Dia sakit tenat. Dia mengalami penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan segera tetapi rawatan itu dinafikan," katanya ketika ditemui pada persidangan N3Con 2026 edisi ke-16 di kampus tertua Thailand, di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, yang berlangsung dari 21 hingga 23 Mei lalu.

N3Con 2026 anjuran Asian American Journalists Association (AAJA) untuk bahagian Asia berlangsung ketika industri media global sedang bergerak melalui zaman kemajuan yang sukar ditafsirkan.
Walaupun kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah bilik berita dan tabiat pembacaan di platform digital, serta persaingan menarik perhatian konsumer menjadi semakin ganas namun di beberapa bahagian dunia, wartawan masih berdepan ancaman yang lebih asas daripada perubahan teknologi — penjara, intimidasi dan kematian.
Persidangan kali ini menghimpunkan wakil organisasi media antarabangsa termasuk AFP, Bloomberg, BBC, Global Investigative Journalism Network (GIJN) dan Lighthouse Reports, bersama wartawan penyiasatan serta aktivis kebebasan media.
Keadaan di Myanmar, Israel, Gaza, China, Rusia, Vietnam, Ukraine dan keselamatan wartawan penyiasatan berulang kali muncul pada sesi perbincangan.

Bagi Beh, semua itu bukan sekadar statistik dalam laporan tahunan atau angka yang dibentangkan di layar persidangan, ia gambaran perubahan lebih besar yang sedang berlaku terhadap landskap kewartawanan global.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan tahap luar biasa wartawan dibunuh atau dipenjarakan kerana kerja mereka," ungkap Beh.
Lebih 330 wartawan kini dipenjarakan di seluruh dunia akibat laporan yang mereka hasilkan, kata Beh lagi.
Lebih satu pertiga daripada mereka berada di Asia - rantau yang sedang berlumba membina masa depan digitalnya tetapi semakin ramai wartawan pula kehilangan sesuatu yang lebih asas — kebebasan.

"Asia secara konsisten berada di kedudukan tertinggi sebagai rantau dengan jumlah wartawan dipenjara paling ramai.
"Jumlah itu sangat tinggi," katanya merujuk data Banci Penjara CPJ 2025 yang merekodkan sekurang-kurangnya 110 wartawan dipenjarakan di rantau ini — lebih 30 peratus daripada jumlah global — dengan China (50), Myanmar (30) dan Vietnam (16) mendahului senarai.
Gaza dan tuntutan akauntabiliti
Sementara itu, di tengah runtuhan bangunan, siren kecemasan, pengeboman dan garis depan konflik Gaza yang sentiasa membahang, wartawan bukan sekadar merakam peperangan dan kemusnahan penghidupan.
Sebahagian mereka terbunuh ketika melakukan sesuatu yang biasa dilakukan wartawan — mencatat sejarah ketika peristiwa sedang berlaku.
Ketika ditanya mengenai wilayah perang itu, Beh berkata dunia kini menyaksikan jumlah luar biasa wartawan yang terbunuh, khususnya dalam kalangan wartawan Palestin.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), perang di Gaza kini menjadi konflik paling membawa maut terhadap wartawan dalam sejarah moden pemantauan organisasi itu.
Sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya lebih 190 wartawan dan petugas media terbunuh, majoritinya wartawan Palestin yang terus melaporkan perang ketika mereka sendiri hidup di bawah pengeboman, pengusiran paksa dan krisis kemanusiaan.
"Kami terus menggesa Israel dipertanggungjawabkan terhadap pembunuhan itu.
"Kami terus menuntut tindakan dan pengakhiran budaya kebal daripada tindakan undang-undang," tegasnya.

Tekanan terhadap pengamal media di pelbagai negara, kata Beh menjadikan tindakan setiakawan dalam komuniti kewartawanan semakin penting.
Di sesetengah tempat, ancamannya hadir dalam bentuk penjara. Di tempat lain pula, peluru, serpihan letupan dan peperangan.
Namun, apabila wartawan dianggap musuh kesannya sama. Kehilangan suara yang dibungkam. Kebenaran fakta menjadi semakin sukar ditemukan dan ruang untuk masyarakat memahami dunia di sekeliling mereka menjadi semakin sempit.
"Wartawan dipenjara dan dibunuh kerana kerja mereka pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sebagai wartawan dan komuniti kewartawanan, kita perlu melakukan tugas lebih baik untuk mempertahankan rakan-rakan kita yang dibunuh atau dipenjarakan kerana kerja mereka.
"Keperluan untuk bertindak tidak boleh dinafikan.
"Solidariti itu penting," ujar Beh lagi.
Badan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International turut melancarkan kempen petisyen dalam talian bagi mendesak junta tentera Myanmar segera membebaskan Sai.
