Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkaitan bagi meneliti laporan dan rumusan panel siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung insiden provokasi prospek yang berlaku di Penjara Taiping, tahun lepas.
Jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius setiap dapatan, syor dan perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan dan petugas penjara dalam kejadian itu.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak-pihak berkaitan bagi meneliti laporan tersebut secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti demi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan dapat diberi perhatian sewajarnya.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa komited dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan, pemulihan serta pematuhan terhadap hak asasi manusia dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan serta standard pengurusan penjara yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, jabatan berkenaan menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan pramatang yang boleh menjejaskan proses penelitian dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
Pada Isnin lalu, panel siasatan Suhakam yang dipengerusikan oleh pengerusinya Hishamudin Yunus mengumumkan dapatannya mengenai rusuhan yang melibatkan lebih 100 banduan, yang mengakibatkan kematian seorang tahanan.

Katanya, panel itu mengenal pasti beberapa pencabulan fizikal oleh kakitangan penjara terhadap banduan semasa insiden tersebut. Ini termasuk menumbuk dan menendang mereka, serta menyembur serbuk lada pada mereka yang duduk dalam barisan dengan kedua-dua tangan digari.
“Justifikasi pegawai penjara terhadap pencabulan sedemikian - yang dakwa mereka hanya menggunakan ‘kekerasan minimum’ yang tidak akan menyebabkan kematian tetapi demi menjaga keselamatan - sama sekali tidak boleh diterima.
“Tindakan kakitangan ‘seperti naik hantu’ semasa operasi pemindahan tahanan, jelas menunjukkan bahawa tafsiran ‘kekerasan minimum’ hanya digunakan sebagai alasan dan bersifat defensif untuk mewajarkan tindakan yang melebihi batas undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia,” kata Hishamudin.
