Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM siasat dakwaan doktor, jururawat subahat palsu rekod

Kementerian Kesihatan akan memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku kakitangan perubatannya semasa rusuhan di Penjara Taiping pada Januari tahun lepas.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari berkata pihaknya memandang serius dapatan panel siasatan awam Suhakam pada Isnin dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kecuaian profesional, pelanggaran tadbir urus klinikal, atau ketidakpatuhan terhadap piawaian amalan perubatan.

“Susulan daripada keputusan inkuiri awam Suhakam tersebut, KKM akan menubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas yang akan meneliti secara terperinci insiden di Penjara Taiping termasuk laporan Suhakam, aspek pengurusan klinikal, pematuhan prosedur perubatan serta kesahihan dakwaan kecuaian medicolegal.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam dan dianggotai oleh wakil kepakaran berkaitan daripada Bahagian Perkembangan Perubatan, Perkhidmatan Kepakaran Perubatan Dalaman, Bahagian Kawalan Penyakit dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, manakala Unit Kesihatan Institusi bertindak sebagai urus setia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Dr Ismuni menambah bahawa KKM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sekiranya siasatan mendedahkan sebarang salah laku.

Dia menegaskan kementerian komited untuk memastikan perkhidmatan perubatan di kemudahan koreksional disampaikan secara profesional dan beretika, serta memenuhi prinsip hak asasi manusia.

Hishamudin Yunus

Pada Isnin lalu, panel siasatan Suhakam yang dipengerusikan oleh pengerusinya Hishamudin Yunus mengumumkan dapatannya mengenai rusuhan yang melibatkan lebih 100 banduan, yang mengakibatkan kematian seorang tahanan.

Ia merumuskan rusuhan itu dicetuskan oleh pengurusan dan kakitangan penjara sendiri, dan hak asasi manusia para tahanan dicabuli.

Panel tersebut turut mengenal pasti penipuan dalam dokumentasi rekod perubatan banduan.

“Terdapat nota yang ditulis oleh kakitangan perubatan penjara pada kad perubatan banduan mengenai punca kecederaan serta rujukan mereka ke hospital mengandungi maklumat yang tidak tepat, berat sebelah dan mengelirukan.

“Antara nota yang dikenal pasti ialah banduan yang bermusuhan memulakan rusuhan, ‘tahanan mendakwa kononnya terjatuh, enggan/tidak mahu bekerjasama, ditarik ke tepi.

“Tiada sebarang rekod keganasan dilakukan oleh kakitangan penjara atau senjata yang digunakan hingga menyebabkan kecederaan kepada banduan, walaupun kakitangan perubatan berada di tempat kejadian semasa insiden itu berlaku,” kata Hishamudin.

Tindakan memalsukan dan memanipulasi rekod perubatan banduan, kata Hishamudin, menunjukkan amalan “kesetiaan berganda” oleh kakitangan perubatan penjara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS