Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIPP gesa Fahmi disiasat kerana kongsi siaran dakwa Rafizi beli Bersama
Diterbitkan:  May 28, 2026 8:39 AM
Dikemaskini: 12:39 AM

MIPP menggesa SPRM memulakan siasatan terhada Fahmi Fadzil selepas menteri komunikasi itu mendapat kritikan kerana didakwa menyebarkan berita tidak tepat mengenai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Menegaskan bahawa kontroversi berhubung isu itu telah mendedahkan "kemunafikan" kerajaan dalam memerangi berita palsu dan maklumat salah, kata Ketua Penerangan MIPP, Justin Prabakaran, sambil memberi amaran bahawa jika tiada tindakan diambil terhadap Fahmi ia akan menjejaskan persepsi orang ramai.

“Kerajaan tidak boleh terus-menerus menyekolahkan rakyat tentang penggunaan media sosial yang bertanggungjawab, sementara para menteri sendiri dilihat menyebarkan kandungan politik yang meragukan dan tidak disahkan.

“Jika rakyat Malaysia biasa boleh disiasat mengenai kandungan dalam talian, maka para menteri dan mereka yang berkuasa juga mesti dipertanggungjawabkan - tiada siapa yang sepatutnya berada di atas undang-undang kerana gelaran atau kedudukan mereka,” tambahnya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini, pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad menekankan bahawa akaun TikTok Fahmi telah menyiarkan semula video yang mengandungi dakwaan terhadap parti itu dan seorang lagi pemimpinnya, bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

Video itu, yang mendakwa bahawa Rafizi telah “membeli” Bersama dengan harga RM8.6 juta, mempersoalkan sumber dana Rafizi dan menuduh bekas menteri ekonomi itu menyimpan niat jahat terhadap PKR.

Semakan Malaysiakini mengesahkan bahawa akaun TikTok Fahmi telah berkongsi video itu, yang masih disenaraikan di bawah siaran semula akaun tersebut dan masih belum dipadamkan selepas dimuat naik oleh pengguna “MayaAlesya” sejak tiga hari lalu.

Laman TikTok itu, yang terus berkongsi kandungan politik yang dijana AI, juga telah meletakkan video yang dipertikaikan itu dia bahagian atas senarai videonya.

Rafizi Ramli (kanan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad semasa pelancaran Bersama

Semasa acara 17 Mei, ketika Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan usaha politik baru mereka, bekas pengasas bersama Bersama, Tan Gin Theam, dengan rela hati menyerahkan parti itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah baik landskap politik negara.

Rafizi juga telah berkata bahawa Tan didorong oleh cita-cita politik, sambil memberi gambaran bahawa tiada wang yang bertukar tangan semasa pengambilalihan parti itu.

Justin berkata Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, harus disiasat "dengan cara yang sama" seperti orang awam yang lain, termasuk aktivis dan pemimpin pembangkang, yang "diteliti" oleh MCMC atas catatan dalam talian mereka.

"Mengapa menteri ini (Fahmi) tidak disiasat? Adakah terdapat polih kasih kerana dia adalah menteri komunikasi?" soal Justin.

“Rakyat dapat melihat dengan jelas budaya penguatkuasaan terpilih yang semakin meningkat yang diamalkan oleh kerajaan Madani ini - ‘cakap lain, buat lain’ telah menjadi realiti pentadbiran ini.

“Isu ini menghantar isyarat berbahaya kepada orang ramai bahawa penguatkuasaan dan keadilan tidak diterapkan secara adil. Keyakinan orang ramai terhadap institusi penguatkuasaan negara akan terus merosot jika pilih kasih dibenarkan berterusan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS