Seekor kerbau albino yang jarang ditemui di Bangladesh - yang diberi nama Donald Trump kerana jambul bulu berwarna perang - terselamat daripada ibadah korban Aidiladha selepas campur tangan kerajaan pada saat-saat akhir, kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri pada hari Rabu.
Binatang seberat hampir 700 kilogram itu sudah pun dijual untuk ritual sembelihan apabila pihak berkuasa masuk campur, dengan memberikan alasan kebimbangan keselamatan selepas lonjakan minat orang ramai menjelang perayaan pada Khamis, lapor Reuters.

Menteri Dalam Negeri Salahuddin Ahmed mengarahkan kerbau itu dikecualikan, wang pembeli dikembalikan, dan kerbau itu dipindahkan ke zoo negara di Dhaka.
Pada saat-saat akhir, keputusan diambil untuk menyelamatkan kerbau itu daripada menjadi korban kerana kebimbangan keselamatan dan tahap minat orang ramai yang luar biasa, kata seorang pegawai kementerian.
Apa yang bermula sebagai pembelian biasa untuk raya dengan cepat bertukar menjadi tumpuan ramai di seluruh negara selepas video mengenainya menjadi tular.
Orang ramai berkumpul di ladang tersebut, dengan pelawat datang dari jauh untuk melihat jambul perang dan gelagatnya yang tenang.
Pemilik ladang Ziauddin Mridha berkata nama itu datang daripada adik lelakinya, yang melihat persamaan tersebut.
Mridha menambah haiwan itu sangat jinak dan memerlukan penjagaan yang rapi, termasuk penyusuan yang kerap dan mandi secara tetap.
Kerbau albino jarang ditemui di Bangladesh, dengan kebanyakan baka binatang berkenaan berwarna gelap, menjadikannya tumpuan utama semasa kemuncak musim ternakan raya - walaupun nama gelaran itu yang berkemungkinan besar menyelamatkannya.
