Kumpulan pengawas Projek Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk segera memulihkan akses ke portal MyKhas untuk pejabat parlimen Subang.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu mengulas dakwaan bahawa pejabat Ahli Parlimen Subang Wong Chen telah disekat daripada mengakses portal itu, yang berfungsi antara lain bagui mengurus dana pembangunan kawasan pilihan raya, menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa dan serangan terhadap tadbir urus demokratik.
Projek Sama mengingatkan Anwar tentang ikrar Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-15 untuk menyediakan peruntukan pembangunan kawasan pilihan raya yang sama rata tanpa mengira gabungan parti.
Ia juga memetik janji PH bahawa peruntukan sedemikian akan disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Setiap Ahli Parlimen yang dipilih — kerajaan atau pembangkang — mewakili rakyat Malaysia yang membayar cukai dan berhak mendapat akses yang sama rata kepada sumber awam.
“Dana pembangunan kawasan datang daripada pembayar cukai, bukan parti pemerintah. Ia tidak boleh disalahgunakan secara partisan untuk mengawal dinamik dalaman parti atau menghukum atau mengancam ahli parlimen,” kata kumpulan itu.
Projek Sama juga menyeru semua parti politik untuk komited dalam pilihan raya umum akan datang untuk menggubal undang-undang dana peruntukan kawasan yang saksama.
Ia berkata undang-undang itu harus memastikan dana berkenaan diuruskan secara bebas oleh parlimen dan bukannya PMO.
Sebelum ini, dilaporkan pejabat Wong Chen mendapati pada 20 Mei bahawa ia telah disekat daripada memuat naik permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk sekolah-sekolah di Subang.
Langkah itu dibuat tiga hari selepas Wong menghadiri acara Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dianjurkan oleh bekas ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Seorang penjawat awam secara lisan memaklumkan pejabatnya bahawa sekatan itu dibuat atas arahan jelas dari Putrajaya — walaupun Ahli Parlimen PKR lain di Selangor kekal mempunyai akses.
“Setakat ini, tiada penjelasan bertulis rasmi telah diberikan oleh kerajaan untuk sekatan mengejut ini,” kata kumpulan itu.
Apabila dihubungi untuk susulan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa ia tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes Wong.
Projek Sama berhujah bahawa sekatan itu sekali gus menghukum pengundi, termasuk sekolah, penerima kebajikan, dan projek komuniti yang bergantung pada peruntukan berkenaan.
“Dalam kes Subang, pengundi yang dihukum termasuk 138,259 pengundi yang mengundi PH pada tahun 2022, serta 39,724 yang tidak mengundi PH,” tambahnya.
Kumpulan itu berkata kerajaan Madani tidak boleh mendakwa memperjuangkan pembaharuan sambil didakwa menggunakan dana awam untuk menentang ahli parlimen yang tidak bersetuju.
“Pemulihan segera akses peruntukan kepada Subang adalah piawaian minimum yang dijangkakan daripada kerajaan yang mendakwa menegakkan demokrasi, akauntabiliti, dan pembaharuan institusi,” katanya.
