Pemuda DAP (Dapsy) menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan parlimen dengan segera dan serentak bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) jika Umno memilih untuk bergerak solo di Johor dan “menikam dari belakang”.
Sayap kanan DAP itu antaranya membangkitkan kemelut di Negeri Sembilan apabila Umno menarik balik sokongan terhadap menteri besar Pakatan Harapan (PH), serta kenyataan mahu "perang habis-habisan" di Johor.
Menurut Dapsy, sekiranya Umno Johor benar-benar mahu berbicara soal "adab" dan penghargaan, parti itu wajar menjawab dua persoalan utama mengenai peranan rakan gabungan yang membantu mengekalkan relevan politik mereka selepas kejatuhan teruk pada PRU lalu.
"Jika ada pihak yang cenderung untuk menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan, maka Dapsy menyeru PMX untuk membubarkan parlimen segera demi mengadakan PRU serta PRN Johor dengan negeri-negeri lain secara serentak agar rakyat diamanahkan untuk membuat keputusan secara jelas dan muktamad secara sekali gus untuk menghukum pengkhianat," kata Dapsy.
Kacang lupakan kulit
Dalam kenyataan hari ini, Dapsy menegaskan bahawa selepas pilihan raya negeri (PRN) 2023, formula kerjasama dan rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan talian hayat kepada Umno untuk kekal relevan.
Ini, katanya, termasuklah penyertaan Umno dalam pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang, serta sokongan PH bagi mengekalkan jawatan menteri besar daripada Umno di Perak dan Pahang.
Bagaimanapun, Dapsy menyatakan kesalnya kepada pihak yang disifatkan bagai kacang lupakan kulit ketika kerajaan sedang berdepan dengan cabaran ekonomi global.
Dapsy turut memetik pandangan penganalisis politik daripada Ilham Centre, Hisommudin Bakar, dan sarjana Azmil Tayeb yang menyatakan Umno tidak mampu mengalahkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya bersaing dalam gelanggang politik identiti Melayu-Islam.
Sebaliknya, Umno dinasihatkan untuk terus bergantung kepada sokongan pengundi bandar dan bukan Melayu yang memerlukan naratif kestabilan serta kesederhanaan.
