ULASAN l Apakah bala yang sedang menimpa Malaysia? Macam-macam kejadian pelik dan trajis sedang berlaku.
Bukan saja kejadian harian macam kemalangan jalan raya, rompak, ragut, samun, bunuh, kongsi gelap, gangster, rogol dan amang seksual yang semakin berleluasa.
Tetapi yang pelik, luar biasa dan bertahap tinggi macam pertikaian yang melibatkan undang-undang, adat resam, istana dan pentadbiran macam di Negeri Sembilan dan, yang terbaru, titah Istana Pahang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kemalangan jalan raya, rompak, ragut, samun, bunuh, kongsi gelap, gangster, rogol dan amang seksual itu adalah soal keselamatan dan undang-undang. Itu tanggungjawab kerajaan.

Tetapi apabila adat resam bertembung dengan istana dan menyeret sama pentadbiran awam, macam yang sedang berlaku di Negeri Sembilan, ia sudah jadi isu rumit. Persidangan Dewan Undangan Negeri pun terpaksa ditangguhkan. Sudah nampak macam krisis perlembagaan.
Yang terbaru, titah Istana Pahang supaya ATM memaklum dan memohon persetujuan Al-Sultan sebelum mengadakan latihan di wilayah negeri itu, laut dan darat.
Alasannya, Baginda tidak mahu berlaku kerosakan kepada alam sekitar seperti batu karang.
Titah Al-Sultan itu disambut secara tidak langsung oleh Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail.
Baginda telah menyiarkan kenyataan panjang lebar di platform HRH Crown Prince of Johor, bagi menyatakan dukacita "kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menggunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau untuk sekadar meraih perhatian dan populariti media sosial."
Maaf cakaplah kalau saya kata, perkembangan ini sangat luar biasa dan bertentangan dengan protokol serta adat resam raja-raja yang saya fahami, terutama sekali aspek "royal decorum".
Hal ini mengingatkan saya kepada dua peristiwa yang melibatkan Raja-raja dan Istana. Pertama titah Almarhum Sultan Azlan Shah, ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong, dan kedua kisah-kisah dalam hikayat Sejarah Melayu (Malay Annals/Sulalatus Salatin).
Sultan Azlan Shah telah menitahkan Pengerusi New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Almarhum (Jeneral Bersara) Mohd Ghazali Che Mat dan Timbalan Pengerusi Eksekutif NSTP, Almarhum Mohd Desa Pachi dan saya menghadap di Istana Negara (lama).
Baginda murka dengan cara akhbar saya, New Straits Times melaporkan lawatan Baginda ke Pameran Pertahanan Asia yang turut dihadiri, secara berasingan, oleh beberapa orang Raja Melayu yang lain.

Dalam majlis menghadap itu Tuanku menerangkan mengenai adat istiadat, protokol dan "decorum" diraja, khususnya yang melibatkan media massa.
Dalam Sejarah Melayu, saya baca mengenai perang saudara Pahang, di mana Temenggung Johor telah campur tangan dalam perebutan takhta antara kerabat diraja Pahang, iaitu Bendahara Tun Mutahir dan adiknya, Wan Ahmad.
Apa yang sedang berlaku sekarang, terutamanya yang melibatkan atau menyentuh Raja-raja, hendaklah ditangani dengan cermat berpandukan Perlembagaan dan protokol.
Adalah amat tidak baik, malah berbahaya, membiarkan pergeseran di kalangan Raja-raja dan antara Raja-raja dengan politik serta institusi negara berterusan.
Apatah lagi pada ketika Raja-raja sendiri mahu orang Melayu khususnya, dan rakyat jelata amnya, bersatu padu, hidup aman damai.
A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.
Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk ‘Musibah, bala dan bencana’. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
