Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menolak dakwaan dia membayar RM8.5 juta untuk memperoleh Parti Bersama Malaysia.
“Itu fitnah yang disebarkan oleh cyber trooper kerajaan, turut dijaja oleh menteri komunikasi,” katanya pada hantaran Facebook.
Bekas menteri ekonomi itu menjelaskan Bersama tidak menyasarkan kuasa dalam tempoh terdekat, sebaliknya mahu membina gerakan jangka panjang yang memfokuskan reformasi struktur untuk rakyat Malaysia.
Rafizi berkata Bersama sudah melepasi 20,000 ahli dalam tempoh dua minggu sejak pelancarannya.

“Apa ideologi Bersama - kita ingin rintis Malaysia yang lebih berdaya maju untuk orang biasa, melawan kelas-kelas berkepentingan.
"Selama ini, parti politik bertukar ganti tetapi tak ramai yang berani melawan kelas-kelas berkepentingan. Akhirnya, sistem tetap sama,” katanya.
Menyimpang daripada kaedah konvensional, Rafizi berkata Bersama tidak akan menubuhkan jawatankuasa penaja di peringkat Parlimen atau negeri kerana parti itu mahu mengelakkan budaya lobi politik yang dikaitkan dengan parti lain.
“Kami mahu bermula dari scratch. Kami tak nak bawa budaya dari mana-mana parti lain,” katanya.

Mengenai pemilihan calon bagi pilihan raya akan datang, Rafizi berkata permohonan akan dibuka tidak lama lagi dan menegaskan semua pemohon akan diberi peluang sama rata tanpa mengira hubungan peribadi.
Dia berkata akan ada jawatankuasa calon yang menapis dan menilai pemohon satu demi satu.
Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan dia bukan sebahagian daripada jawatankuasa calon itu.
Rafizi mengulangi perjuangan Bersama akan berteraskan “12 Agenda Bersama”, yang disifatkannya sebagai infrastruktur dasar bertujuan mengubah sistem, bukan sekadar menambah baik dasar sedia ada.

Katanya, parti itu akan membentangkan cadangan reformasi undang-undang, program dan pendekatan Bersama analisis kos-faedah, perincian pembiayaan serta pelan pelaksanaan.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengakui wujud perbandingan antara Bersama dengan parti-parti politik kecil seperti Pejuang, Muda dan PSM.
“Menang kalah itu ketentuan Allah. Bersama tidak meletakkan kuasa dalam masa terdekat sebagai sasaran.,” katanya.
Dia menambah, dia dan pengasas Bersama parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, telah “melepaskan segala-galanya” untuk menubuhkan platform politik yang berorientasikan masa depan.
Mengenai persiapan beberapa bulan akan datang, Rafizi berkata ibu pejabat Bersama dijangka siap menjelang hujung Jun dan akan menempatkan dewan berkapasiti 400 orang, bilik mesyuarat serta kemudahan operasi pilihan raya.
Dia turut mengumumkan rancangan memperkenalkan barangan dagangan baru, program merekrut ahli dan pelancaran aplikasi mudah alih “Kancil” bagi mengurus ahli serta jentera pilihan raya di peringkat kawasan Parlimen.
“Persiapan kempen pilihan raya umum di peringkat kawasan juga akan dimulakan,” katanya.
