Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hamzah jaja nama PAS, Umno, Istana untuk jatuhkan Muhyiddin'
Diterbitkan:  May 28, 2026 4:51 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Bekas setiausaha sulit kanan kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendedahkan wujudnya gerakan sulit yang diketuai Hamzah Zainudin untuk menyingkirkan presiden parti Bersatu itu dengan menggunakan dakwaan sokongan luar secara tidak sah.

Bagi menjayakan rancangan itu, Hamzah didakwa cuba mempengaruhi sekitar 120 ketua bahagian Bersatu untuk mengumpul tandatangan bagi mendesak Muhyiddin berundur dengan menggunakan dua naratif utama.

Marzuki Mohamad

Naratif pertama menurut timbalan presiden Bersatu yang dipecat keahliannya itu adalah dengan mendakwadia mendapat sokongan daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Hamzah dakwa presiden PAS endorse beliau untuk menjatuhkan Muhyiddin.

“Seorang bekas ahli Parlimen Bersatu pro-Hamzah pernah memuat naik di Facebook gambar pertemuan kedua-dua mereka beserta beberapa orang ahli Parlimen Bersatu dan PAS di White House (pejabat Hamzah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur) dan menjaja cerita kononnya di sinilah presiden PAS endorse Hamzah.

“Saya pernah ceritakan perkara ini kepada seorang pemimpin kanan PAS. Beliau menafikan penglibatan presiden PAS dalam gerakan Hamzah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Naratif kedua, menurut bekas setiausaha sulit Muhyiddin itu adalah dakwaan bahawa Umno sedia bekerjasama membentuk kerajaan dengan PN tetapi syaratnya adalah Muhyiddin perlu disingkirkan terlebih dahulu

“Kononnya Ahmad Zahid Hamidi letakkan syarat mesti buang Muhyiddin dahulu sebelum kerjasama boleh dibuat.

“Saya semak dengan beberapa orang pemimpin kanan Umno. Mereka kata ini karut. Tiada syarat sedemikian. Malah mereka beritahu saya Umno tidak percaya kepada Hamzah,” katanya.

Marzuki berkata, atas sebab inilah semua langkah Hamzah untuk tebuk atap dari Dubai hingga Bangkok gagal.

“Malah, pernah juga berlegar dalam kalangan ketua-ketua bahagian Bersatu cerita-cerita mengenai hubungan rapatnya dengan Istana Negara.

“Masalahnya, siapa yang boleh 'verify' (sahkan) ceritanya dengan Istana Negara. Yang ada akses sahaja boleh verify,” katanya

Ahmad Zahid Hamidi

Menyedari faktor sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu masih kuat, Marzuki mendakwa Hamzah enggan bersaing merebut jawatan presiden daripada Muhyiddin pada pemilihan parti.

Sebaliknya, Marzuki mendakwa Hamzah, yang memenangi jawatan timbalan presiden tanpa bertanding atas ihsan Muhyiddin, menggerakkan usaha untuk menjatuhkan presiden sejurus selepas disahkan memegang jawatan tersebut.

"Tugas timbalan presiden dalam Perlembagaan Bersatu ialah membantu presiden. Tetapi Hamzah bukan sahaja tidak membantu presiden, malah menjalankan gerakan menjatuhkan presiden secara terang-terangan sebaik sahaja beliau disahkan sebagai timbalan presiden," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS