Hampir 10,000 tandatangan berjaya dikumpulkan aktivis dan penduduk setempat bagi membantah cadangan pembangunan di kawasan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata bantahan itu dibangkitkan penduduk sejak 2012 dan masih berlarutan sehingga kini susulan kebimbangan terhadap keselamatan cerun, kesesakan lalu lintas, kesan alam sekitar serta kehilangan kawasan hijau yang digunakan komuniti setempat dan pendaki.
Menurutnya, aktivis mula mendapatkan bantuan pejabatnya pada Disember tahun lalu selepas gagal memperoleh sokongan aktif daripada Adun Kinrara yang juga Exco Selangor, Ng Sze Han.
“Hari ini merupakan kenyataan media kelima kami mengenai perkara ini dan para aktivis telah berjaya memperoleh lebih 9,000 tandatangan membantah pembangunan tanah tersebut,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Subang di Puchong, hari ini.
Wong turut mendakwa dokumen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan tanah berkenaan dinilai pada kadar RM55 sekaki persegi, jauh lebih tinggi berbanding harga jualan RM13.80 sekaki persegi yang diumumkan kerajaan Selangor sebelum ini.

Katanya, penilaian itu diperoleh menerusi memorandum pindah milik (MOT) rasmi yang diterima pejabatnya selepas kira-kira 10 hari permohonan dibuat.
Menurut Wong, jika menggunakan penilaian RM55 sekaki persegi oleh LHDN, tanah itu dianggarkan bernilai sekitar RM404 juta berbanding harga jualan akhir RM101 juta.
“Kalau penilai letak RM13.02 sedangkan LHDN nilai RM55, kerajaan perlu jelaskan kenapa tanah itu boleh dijual begitu murah,” katanya.
Wong berkata tanah seluas 169 ekar itu dijual kepada syarikat Perano yang dikaitkan dengan kumpulan Jakel pada harga yang disifatkannya terlalu rendah.
Wong turut mempersoalkan percanggahan antara pendirian kerajaan negeri yang mendakwa kawasan itu tidak akan dibangunkan dengan dokumen Pelan Tempatan Subang Jaya 2035 yang mengklasifikasikan kawasan tersebut sebagai “Perumahan Terancang”.
Katanya, keputusan mahkamah pada 2017 sebelum ini telah memutuskan tanah tersebut tidak sesuai dibangunkan kerana faktor cerun curam, namun urus niaga tanah tetap diteruskan pada 2019 dan 2020.
“Jika benar kerajaan tidak mahu pembangunan selepas keputusan mahkamah 2017, kenapa transaksi itu tidak dibatalkan?” soalnya.
Wong bagaimanapun menegaskan dia tidak membuat tuduhan rasuah, sebaliknya hanya mahu siasatan penuh dijalankan bagi menjelaskan ketidakkonsistenan dalam urus niaga tersebut.
“Saya cuma mahu kebenaran dan penjelasan penuh mengenai transaksi ini,” katanya.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini berkata tanah tersebut dinilai pada RM13.02 sekaki persegi atau RM95.3 juta sebelum dijual melalui tender terbuka pada harga RM101 juta, iaitu 5.9 peratus lebih tinggi daripada nilai penilaian.

Amirudin turut dilaporkan berkata pentadbiran kerajaan negeri semasa tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu kerana 75 peratus tapak berkenaan berada dalam kategori cerun Kelas 3 dan Kelas 4.
Mengulas lanjut, Wong berkata pendirian kerajaan negeri bercanggah dengan hakikat bahawa pemilikan tanah tetap dipindahkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat.
Dia turut mendakwa penduduk tidak dimaklumkan mengenai penjualan dan pemindahan tanah tersebut sehinggalah proses penilaian impak sosial dikendalikan pemaju dimulakan tahun lalu.
Selain itu, Wong berkata jawapan kerajaan negeri terhadap soalan yang dikemukakan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat di Sidang Dewan Negeri Selangor pada 13 Mei lalu juga tidak memuaskan kerana lebih tertumpu kepada sejarah tanah dari 1906 hingga 1929 berbanding transaksi pada 2012.
“Kami bertanya mengenai urusan jual beli pada 2012, tetapi jawapan yang diberikan ialah cerita 100 tahun lalu.
“Itu mempermainkan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Wong turut menggesa kerajaan negeri mendedahkan perjanjian jual beli, laporan penilaian serta dokumen penuh transaksi melibatkan pemaju swasta terbabit.
Katanya, kerajaan negeri juga perlu mempertimbangkan untuk membeli semula tanah itu sekiranya masih berpendirian kawasan tersebut tidak sepatutnya dibangunkan.
“Jangan hanya berkata tiada pembangunan akan dilakukan tanpa mengemukakan penyelesaian sebenar,” katanya.
