Tayangan filem aksi tempatan Konspirasi di 120 pawagam seluruh negara ditamatkan selepas tujuh hari ditayangkan, meskipun filem itu pada asalnya dijadualkan untuk tempoh wajib tayang selama dua minggu bermula 21 Mei.
FIlem itu berkisar mengenai sebuah pasukan elit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditugaskan untuk mendapatkan semula data sensitif berkaitan ahli politik korup dan transaksi kewangan luar negara.
Misi tersebut kemudian bertukar menjadi krisis politik selepas maklumat sulit dibocorkan kepada media dan platform dark web.
Isu penamatan filem tersebut mula timbul malam tadi selepas pelakon utamanya, Sarimah Ibrahim, mendakwa filem tersebut terpaksa dihentikan tayangannya berkuat kuasa 28 Mei.
“Sis dapat another berita yang mengejutkan.
“Filem Konspirasi terpaksa dihentikan tayangan di semua panggung wayang immediately (serta-merta).
“Malaysia what is going on? (Malaysia, apa yang sedang berlaku?)
“Sejujurnya, ini kali kedua sis menghadap situasi sangat pelik pasal filem,” katanya di laman Threads tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan agensi itu telah dimaklumkan oleh Persatuan Pemamer Malaysia (Mafe) dan pengedar Media Prima Berhad bahawa penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn Bhd, telah meminta tayangan dihentikan berkuat kuasa 28 Mei.
“Berdasarkan E-mel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada Finas, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn Bhd telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan,” kata Finas.
Finas memaklumkan semakan dengan pengedar dan pawagam mendapati penamatan tayangan filem tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak.
Pengerusi Finas, Hans Isaac, ketika dihubungi menyifatkan permintaan penerbit untuk menghentikan tayangan sebagai perkara “biasa”, walaupun timbul persoalan dalam kalangan pemerhati industri.

“Ia normal. Tetapi kita berpandukan dan menyokong filem tersebut dari segi kelulusan penggambaran, tayangan dan rebat,” kata bekas pelakon yang kini ahli politik PKR itu.
Penerbit filem itu semalam memuat naik trailer promosi di halaman Facebook rasminya, walaupun tayangan telah ditarik balik.
Hans bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya apakah penerbit dijangka mengalami kerugian akibat tempoh tayangan dipendekkan.
“(Kerugian) itu kena tanya penerbit.
“Di Finas, kami hanya membantu memastikan semua filem mendapat peluang terbaik, dan Finas akan sentiasa menyokong semua penerbit tempatan,” katanya kepada Malaysiakini.
Dalam kenyataan sama, Finas turut memaklumkan pihaknya telah cuba menghubungi penerbit untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan tersebut, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
Bagaimanapun, sejurus selepas Finas mengeluarkan kenyataan itu, Elepfilm Entertainment memuat naik satu mesej berunsur simbolik di Instagram Story berbunyi: “Hakikat memang pahit ditelan, apatah lagi dikunyah.”
Filem Konspirasi diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan diterbitkan bersama Asia Tropical Films.
Sebelum ini, Berita Harian memetik Ghaz sebagai berkata dia hanya dimaklumkan mengenai penamatan mengejut itu melalui kiriman teks daripada syarikat produksi filem tersebut.
Filem berkenaan turut dibintangi Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Roy Azman dan Esma Daniel.
