Meneliti semua medium di media sosial hari ini wujud dan ada sesuatu yang semakin membimbangkan tentang Malaysia hari ini.
Bukan sekadar politik yang semakin kasar. Bukan hanya ekonomi yang semakin mencabar. Bukan juga semata-mata tentang media sosial yang menjadikan manusia semakin cepat menghukum dan semakin malas membaca.
Sesekali disapa tentang ingatan betapa budaya fikir bangsa ini yang perlahan-lahan semakin menipis.
Ironinya, kita hidup dalam zaman maklumat paling banyak dalam sejarah manusia, tetapi pada masa sama masyarakat semakin pendek daya tahan berfikirnya. Semuanya mahu ringkas, segera dan pantas.
Kalau terlalu panjang, orang tidak mahu membaca. Kalau terlalu mendalam, orang kata “berat”. Kalau terlalu kritikal dan tegas, Gen Z mula melabel “menekan-nekan”.
Dan dalam suasana ini, apabila terlintas di Thread, imbas kenangan usaha Perdana Menteri kedua Tun Razak Hussein dalam menyatupadukan rakyat melalui lagu patriotik Malaysia Berjaya, ingatan kembali melebar zaman persekolahan ketika mengalunkan lagu ini waktu perhimpunan.
Menariknya, Malaysia Berjaya bukan sekadar sebuah lagu patriotik biasa. Lagu ini dicipta oleh Saiful Bahri Elyas dan dipopularkan oleh Jamaluddin Alias pada tahun 1964, ketika Malaysia masih sebuah negara yang sangat muda.

Ketika itu, Persekutuan Malaysia baru berusia setahun. Semangat membina negara masih segar. Perpaduan bukan sekadar tema kempen kerajaan, tetapi satu keperluan untuk memastikan negara yang baru lahir ini mampu bertahan.
Mungkin sebab itu lirik yang ditulis Saiful Bahri begitu sederhana, tetapi mempunyai jiwa yang besar.
Beliau tidak menulis tentang parti politik, pemimpin atau ideologi tertentu. Beliau menulis tentang harapan. Tentang sebuah negara yang mahu melihat rakyat pelbagai kaum hidup aman, makmur dan berkongsi cita-cita yang sama.
Dari Perlis sampailah ke Sabah
Kita sudah merdeka
Negara makmur rakyat mewah
Kita sudah berjaya!
Lirik itu lahir pada zaman Malaysia masih mencari identitinya. Namun yang menarik, selepas lebih 60 tahun berlalu, persoalan yang dibangkitkan lagu tersebut masih belum selesai sepenuhnya.

Hari ini, kita masih bercakap tentang perpaduan. Kita masih bercakap tentang identiti kebangsaan. Kita masih bercakap tentang bagaimana rakyat pelbagai latar belakang boleh hidup sebagai satu bangsa yang berkongsi masa depan yang sama.
Barangkali itulah sebabnya lagu ini terus hidup dalam ingatan generasi yang pernah membesar dengannya.
Bagi generasi terdahulu, lagu ini bukan sekadar hiburan patriotik RTM. Lagu ini pernah menjadi budaya nasional. Bukan setiap kali bulan kemerdekaan menjelang, ia akan berkumandang di sekolah-sekolah, pejabat kerajaan dan radio nasional.
Murid-murid berdiri tegak di tapak perhimpunan sekolah menyanyikannya bersama-sama. Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan. Semua menyebut lirik yang sama. Semua membawa semangat yang sama.
Dan tanpa disedari, lagu-lagu beginilah yang membentuk emosi kebangsaan generasi terdahulu.
Nah! tidak tahu di mana puncanya, hari ini budaya itu semakin hilang.

Kita sendiri tidak pasti apa alasan sebenarnya. Mungkin dianggap terlalu lama. Mungkin dikatakan tidak relevan dengan generasi baharu.
Atau mungkin benar seperti apa yang sering berlaku dalam politik negara polisi pendidikan berubah mengikut selera menteri yang datang dan pergi.
Menteri berubah. Pendekatan berubah. Slogan berubah. Kempen berubah. Akhirnya yang tidak pernah sempat berakar ialah pembinaan jiwa bangsa itu sendiri.
Kalau beginilah anutannya, tidak mustahil suatu hari nanti lirik: Satu bangsa satu negara Malaysia berjaya! akan tinggal sekadar nostalgia sejarah. Yang tinggal hanya lagu, tetapi semangatnya sudah mati.
Sejujurnya, sewaktu itu kita mungkin tidak benar-benar memahami maksud besar di sebalik lirik tersebut. Kita cuma tahu bulan Ogos ialah bulan kemerdekaan.
Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) dipasang di koridor sekolah. Guru meminta murid memakai lencana kecil bendera Malaysia. Radio dan televisyen pula hampir setiap hari memainkan lagu patriotik.

Namun hari ini apabila usia semakin dewasa, kita mula memahami bahawa negara sebenarnya sedang membina sesuatu yang lebih besar ketika itu. Ia sedang membina naratif emosi kebangsaan.
Mungkin sebab itu generasi terdahulu mempunyai hubungan yang lebih dekat dengan idea tentang negara. Mereka tidak belajar patriotisme melalui media sosial atau kempen bermusim. Mereka membesar bersama budaya yang diulang perlahan-lahan setiap hari.
Perhimpunan sekolah. Lagu patriotik. Ikrar Rukun Negara. Sambutan Bulan Kemerdekaan. Semuanya nampak kecil dan sederhana, tetapi itulah proses membentuk jiwa rakyat. Hari ini budaya itu semakin hilang sedikit demi sedikit.
Perlu diberitahu hakikatnya negara tidak dibina hanya dengan bangunan tinggi dan statistik ekonomi. Negara dibina dengan rasa. Dengan pengalaman bersama.
Dengan memori kolektif yang membuatkan rakyat percaya mereka sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri.
Sebab itu apabila mendengar semula lirik:
Berbagai kaum sudah berikrar
Menjunjung cita-cita
Satu bangsa satu bahasa
Malaysia berjaya!
ada rasa sayu yang sukar diterangkan.
Kerana hari ini kita hidup dalam masyarakat yang semakin sukar mencari pengalaman bersama seperti itu.
Identiti mencair
Generasi muda atau Gen Z membesar dalam dunia yang jauh lebih individualistik. Dunia mereka dibentuk oleh algoritma media sosial masing-masing.
Yang seorang hidup dalam TikTok. Yang seorang lagi tenggelam dalam Instagram dan X. Yang lain pula membesar dalam komuniti digital global yang tidak lagi mengenal sempadan negara.
Akhirnya identiti kebangsaan semakin cair di tengah-tengah budaya digital yang terlalu pantas berubah.

Mungkin sebab itu juga lahir budaya baru seperti frasa “jangan menekan-nekan” yang sangat popular dalam kalangan Gen Z hari ini.
Pada mulanya ayat itu kedengaran lucu. Santai. Sekadar ‘meme’ internet. Makcik bertanya bila mahu kahwin - menekan-nekan. Sudah kahwin, ditanya bila mahu anak - menekan-nekan. Bos bertanya status kerja - menekan-nekan.
Tetapi lama-kelamaan kita melihat frasa itu sebenarnya mencerminkan perubahan yang lebih besar dalam cara masyarakat melihat tanggungjawab dan tekanan hidup.
Hari ini manusia semakin cepat penat secara emosi. Sedikit teguran dianggap serangan peribadi. Sedikit desakan dianggap toxic. Sedikit peringatan dianggap mengganggu kesihatan mental.
Tidak menafikan bahawa kesihatan mental itu penting. Memang ada budaya lama yang terlalu keras sehingga manusia hilang ruang untuk bernafas.
Tetapi pada masa sama, kita juga tertanya-tanya sejak bila semua bentuk teguran dianggap tekanan?
Sedangkan hidup ini memang tidak akan pernah sunyi daripada tanggungjawab. Kadang-kadang orang bertanya sebab kerja kita berkait dengan kerja orang lain.
Kadang-kadang orang mengingatkan kerana dia masih percaya kita akan menunaikan janji. Dan kadang-kadang teguran itu hadir bukan kerana benci, tetapi kerana peduli. Di situlah sebenarnya lahirnya integriti.
Integriti bukan sekadar slogan besar dalam seminar atau kempen antirasuah. Integriti ialah apabila orang lain tidak perlu mengejar kita berkali-kali untuk mendapatkan kepastian. Integriti ialah apabila amanah dilaksanakan tanpa perlu sentiasa dipaksa.
Dalam masa sama, integriti juga hadir pada cara kita melayan manusia. Bukan semua kelewatan perlu dimarahi. Bukan semua kesilapan perlu dihukum dengan keras. Tetapi bukan juga semua teguran boleh dianggap “menekan-nekan”.
Kalau semua perkara mahu dielakkan atas nama keselesaan emosi, bagaimana sebuah negara mahu bergerak?
Kita kadang-kadang merasakan masyarakat hari ini semakin kehilangan daya tahan untuk berfikir secara matang. Kita hidup dalam zaman yang terlalu meraikan reaksi segera tetapi semakin malas membina refleksi.

Sebab itu penulis teringat satu petikan Prof Di Raja Ungku Aziz yang sangat relevan dengan keadaan hari ini:
“Sa-lagi orang2 Melayu berfikir hendak menyelesaikan masalah meninggikan ekonomi mereka dengan fikiran perkauman, maka sa-lama itu masaalah itu ta’ dapat di-selesaikan malah akan mempersukar pula penyelesaiannya.”
Petikan itu ditulis puluhan tahun dahulu, tetapi semangatnya masih hidup sampai hari ini. Ungku Aziz sebenarnya sedang bercakap tentang cara berfikir masyarakat.
Tentang bagaimana sesuatu bangsa tidak akan maju kalau terlalu terperangkap dalam emosi dan sentimen sempit. Dan hari ini masalah itu bukan sekadar soal kaum.
Tetapi soal bagaimana masyarakat semakin malas berfikir secara mendalam. Segalanya mahu segera. Segera marah. Segera menghukum dan segera tular.
Dewasa ini, kita membaca tajuk tanpa memahami isi, kita berkongsi kemarahan tanpa menyemak fakta dan kita lebih suka mencari musuh daripada mencari penyelesaian.
Kadang-kadang dapat dirasakan masyarakat hari ini bukan tidak pandai. Tetapi terlalu penat untuk berfikir secara serius.
Mungkin sebab itu, apabila menyelak buku tulisan Syed Ahmad Fathi, Berfikir Tentang Pemikiran terasa sangat penting dalam suasana sekarang.
Masyarakat hari ini bukan sekadar mengalami krisis politik atau ekonomi, tetapi krisis cara berfikir.
Kita terlalu cepat memberi reaksi tetapi terlalu malas merenung. Kita terlalu suka bercakap tetapi semakin kurang mahu memahami. Akhirnya lahirlah masyarakat yang mudah terasa tetapi sukar bertanggungjawab.
Padahal tamadun besar tidak dibina oleh manusia yang sentiasa mahu selesa. Ia dibina oleh manusia yang sanggup menerima disiplin, teguran dan proses panjang membina diri.
Sebab itu, kita perlu percaya sekolah sebenarnya memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar tempat mengejar keputusan peperiksaan. Sekolah ialah tempat negara membina jiwa rakyatnya.

Dulu perhimpunan sekolah mungkin membosankan bagi ramai pelajar. Berdiri lama di tengah panas. Mendengar ucapan guru yang kadang-kadang terlalu panjang. Menyanyi lagu patriotik berulang kali. Tetapi hari ini kita mula memahami kenapa semua itu penting.
Kerana di situlah anak-anak Malaysia belajar berdiri bersama tanpa terlalu memikirkan kaum dan latar belakang masing-masing. Mereka belajar bahawa negara ini milik bersama.
Sebab itu selepas tragedi 13 Mei, negara memperkenalkan Rukun Negara untuk membina semula perpaduan rakyat. Negara ketika itu faham bahawa perpaduan tidak lahir secara automatik. Ia mesti dipupuk sejak kecil melalui pendidikan dan budaya bersama.
Malangnya hari ini kita semakin kehilangan istiqamah tersebut. Politik terlalu sibuk bertukar slogan. Media sosial terlalu sibuk mencipta kemarahan baru setiap hari. Dan masyarakat pula semakin hanyut dalam dunia masing-masing.
Kadang-kadang kita risau negara ini sedang kehilangan roh kebangsaannya secara perlahan-lahan. Tidak dapat dinafikan, kita masih ada Jalur Gemilang. Masih ada lagu Negaraku. Masih ada sambutan kemerdekaan setiap tahun. Tetapi emosi yang menghidupkan semua simbol itu semakin menipis.
Sebab itu apabila mendengar semula lagu Malaysia Berjaya, terasa seperti mendengar suara daripada sebuah Malaysia yang pernah lebih yakin terhadap dirinya sendiri.
Sebuah Malaysia yang percaya perpaduan bukan sekadar slogan politik.
Sebuah Malaysia yang percaya rakyat pelbagai kaum masih boleh berkongsi impian yang sama. Hari ini keyakinan itu semakin rapuh.
Politik pecah?
Politik terlalu banyak memecahkan rakyat mengikut kelompok masing-masing. Media sosial pula menjadikan kemarahan lebih laku daripada kebijaksanaan.
Yang paling bising lebih mudah didengar daripada yang paling waras. Yang paling emosional lebih cepat tular daripada yang benar-benar mahu membina.

Dalam suasana seperti ini, Gen Z membesar dengan persepsi bahawa negara hanyalah ruang pertelingkahan yang tidak pernah selesai.
Mungkin sebab itu mereka lebih memilih menjaga ketenangan jiwa sendiri daripada memikirkan soal negara.
Tetapi sampai bila sebuah bangsa boleh hidup hanya untuk dirinya sendiri? Akhirnya kita tetap memerlukan sesuatu yang lebih besar untuk menyatukan rakyat.
Dan kita percaya budaya, pendidikan dan memori kolektif masih antara perkara paling penting untuk melakukannya.
Mungkin kita tidak boleh kembali sepenuhnya kepada zaman kaset patriotik dan perhimpunan sekolah seperti dahulu. Tetapi negara masih boleh membina semula semangat itu dalam bentuk yang lebih segar dan jujur.
Kerana patriotisme bukan bermaksud menutup kelemahan negara. Patriotisme ialah rasa tanggungjawab untuk memastikan negara menjadi lebih baik. Dan rasa itu tidak lahir secara automatik apabila manusia dewasa.
Ia dibentuk perlahan-lahan sejak kecil. Melalui sekolah. Melalui guru. Melalui budaya.
Melalui lagu-lagu patriotik yang suatu ketika dahulu pernah menyatukan sebuah bangsa. Mungkin sebab itu apabila mendengar semula lirik ini hari ini, kita terasa lebih sayu daripada bangga:
Dengar semboyan kita berjaya
Gemuruh di angkasa
Satu bangsa satu negara
Malaysia berjaya!
Kerana penulis tidak pasti sama ada Gen Z selepas ini masih melihat lirik itu sebagai harapan… atau sekadar tinggal sejarah tentang sebuah negara yang pernah benar-benar percaya kepada idea bernama Malaysia.
Atau untuk tahun-tahun mendatang algoritma akan diulas sebagai mantera baharu untuk melihat generasi yang diwakilinya.
MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan dan bekas editor Selangorkini.
Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
