Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jangan jadikan isu hospital awam PJ modal politik

ULASAN | Tindakan beberapa pihak yang cuba mempolitikkan usaha pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya, termasuk MCA dengan Pengerusi MCA Selangor Lawrence Low mempersoalkan kelewatan projek ini adalah tidak wajar.

Isu kesihatan rakyat tidak wajar dijadikan modal politik. Petaling Jaya sudah sekian lama memerlukan sebuah hospital awam sendiri bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat, selain mengurangkan tekanan terhadap hospital awam sedia ada di kawasan sekitar seperti Klang dan Shah Alam.

Oleh itu, sementara menunggu projek hospital awam tersebut disiapkan pembinaannya, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara yang lebih segera bagi memudahkan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan awam.

Dalam konteks ini, cadangan Galen Centre for Health and Social Policy supaya salah sebuah hospital swasta bersaiz sederhana yang sedia ada di Petaling Jaya disewa dan diambil alih operasinya sebagai hospital awam wajar dipertimbangkan, sama ada secara sementara untuk tempoh tertentu.

Pendekatan pengambilalihan sementara hospital swasta adalah selari dengan pendekatan public-private partnership yang telah dimulakan oleh Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad sejak tahun 2023 dengan pengenalan Hospital Outsourcing Programme (HSOP) yang mana perkhidmatan kesihatan yang mendesak disumber luarkan kepada hospital swasta seperti perkhidmatan radiologi dan kardiologi tetapi dalam skala yang lebih besar menyedari keperluan tinggi di kawasan Petaling Jaya yang sememangnya padat dan memerlukan.

Pendekatan ini berpotensi menjadi penyelesaian praktikal sementara menunggu hospital baru dibina. Ia juga boleh membantu mengurangkan kesesakan di hospital awam sekitar Lembah Klang dan membolehkan penduduk Petaling Jaya mendapatkan rawatan awam pada jarak yang lebih dekat. Langkah ini penting demi kesejahteraan rakyat berasaskan prinsip keadilan sosial.

Bukan agenda baru

Hakikatnya Hospital Awam Petaling Jaya bukanlah agenda baru. Perkara ini telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan Pakatan Harapan di Selangor. Malah, Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 yang diwartakan pada tahun 2011 di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah pun mengambil kira keperluan pembinaan hospital awam di Petaling Jaya.

Namun, semua pihak perlu memahami bahawa pembinaan hospital awam bukan hanya bergantung kepada kerajaan negeri. Ia memerlukan komitmen dan kerjasama Kerajaan Persekutuan, khususnya dari segi kelulusan, peruntukan, perancangan teknikal dan pelaksanaan projek yang mana ketika tahun 2011, kerajaan persekutuan ditadbir oleh BN.

Pada ketika cadangan ini mula dibangunkan di peringkat negeri, Kerajaan Persekutuan bukan berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Hanya selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada tahun 2018, usaha mengenal pasti tapak yang sesuai untuk Hospital Awam Petaling Jaya dapat digerakkan dengan lebih serius.

Malangnya, usaha tersebut terganggu apabila Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan ditumbangkan melalui pengkhianatan Langkah Sheraton. Perubahan politik itu, ditambah pula dengan krisis Covid-19 yang melanda negara, telah menyebabkan agenda penting ini tertangguh.

Hakikatnya, peluang untuk membangunkan Hospital Awam Petaling Jaya pada kos yang lebih munasabah telah disia-siakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu. Kini, apabila kos tanah di Petaling Jaya semakin tinggi, kerajaan perlu lebih teliti, lebih strategik dan lebih berhemah dalam menentukan tapak terbaik untuk projek ini.

Sekiranya kos pengambilalihan tanah sahaja terlalu tinggi, ia berisiko menjejaskan peruntukan lain yang sama penting, termasuk peralatan perubatan, kemudahan pesakit, tenaga kerja dan kelengkapan operasi hospital. Oleh itu, pemilihan lokasi tidak boleh dilihat secara sempit. Ia mesti mengambil kira keperluan rakyat, akses pengangkutan, kesesuaian kawasan dan kewajaran kos.

Oleh itu, komitmen Menteri Kesihatan dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam menggerakkan semula usaha merealisasikan Hospital Awam Petaling Jaya, termasuk laporan bahawa tapak di Taman Medan sedang dinilai sebagai antara tapak berpotensi harus dinilai secara wajar.

Secara praktikalnya, kawasan seperti Taman Medan, yang mempunyai majoriti penduduk Melayu dan kelompok B40 yang besar, akhirnya mendapat akses lebih dekat kepada sebuah hospital awam adalah suatu idea yang wajar, yang akan memberikan manfaat kesihatan kepada seluruh penduduk Petaling Jaya khususnya.

Rakyat harus menolak politik sempit seperti ini. Projek hospital awam bukan soal siapa mahu mendapat keuntungan politik. Ia soal nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat. Usaha Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Hospital Awam Petaling Jaya dapat direalisasikan harus disokong semua pihak.


MUHAMMAD FAIZ FADZIL merupakan Setiausaha Agung Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS