Amanah Selangor mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ronnie Liu sekiranya bekas exco negeri itu enggan menarik balik dan memohon maaf atas dakwaannya terhadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata parti itu memandang serius kenyataan Liu yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap Izham, yang juga pengerusi Amanah Selangor.
Menurutnya, isu penternakan babi di Selangor telah mendapat perhatian serius Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga baginda menitahkan supaya semua aktiviti berkaitan penternakan babi di negeri itu dihentikan.
Katanya, antara faktor yang mendorong campur tangan istana ialah isu pencemaran yang melibatkan kepentingan awam serta penularan wabak African Swine Fever yang disifatkan semakin berleluasa.
“Titah Tuanku Sultan berkenaan isu ini amat bertepatan dengan masa dan keadaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abbas turut menyifatkan kenyataan Liu sebagai tidak beretika dan mendakwa bekas pemimpin DAP itu seolah-olah tidak memahami konsep Rukun Negara serta sistem pentadbiran yang diamalkan di Selangor.
Katanya, Liu yang pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika mewakili DAP seharusnya memahami proses pentadbiran kerajaan negeri.
“Namun setelah tidak lagi menjadi pimpinan dan ahli parti DAP, nadanya berubah seolah-olah tidak pernah terlibat dengan kerajaan negeri,” katanya.

Kenyataan Abbas itu sebagai reaksi terhadap dakwaan Liu yang menyalahkan Izham berhubung beberapa keputusan berkaitan industri penternakan babi di Selangor.
Antara dakwaan Liu ialah cadangan menamatkan penternakan babi tempatan, pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar serta arahan pemindahan ternakan yang masih belum dilaksanakan berpunca daripada Izham dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.
Liu juga mendakwa Izham sering mengeluarkan ugutan kepada penternak babi dalam mesyuarat tertutup serta tidak mendengar pandangan kepimpinan parti.
Selain itu, Liu mendakwa kontroversi berkenaan boleh menyebabkan Amanah Selangor kehilangan sokongan pengundi dan mungkin akan “lenyap” di Selangor pada pilihan raya akan datang.
Liu berkata demikian dipercayai respons kepada kenyataan Izham sebelum ini bahawa proses mengosongkan ladang babi di Tanjong Sepat kini hampir selesai, dengan baki kira-kira 11,000 ekor ternakan di kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi di kawasan berkenaan.
Izham sebelum ini dilapor sebagai berkata, semua baki ternakan itu belum cukup matang untuk dilupus atau disembelih sejak arahan penutupan dikeluarkan pada Februari lalu.
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Abbas menegaskan tuduhan Liu terhadap Izham adalah melampau dan tidak berasas.
“Amanah Negeri Selangor meminta saudara Ronnie Liu menarik balik tuduhan yang telah dibuat dan berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan agar tidak menyinggung mana-mana pihak, apatah lagi menyentuh titah Sultan Selangor.
“Amanah Negeri Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika kenyataan yang dibuat tidak ditarik balik dan tidak disusuli permohonan maaf,” katanya.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini mengarahkan semua ladang babi di Tanjong Sepat dikosongkan dan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan Jun sebelum fasa penguatkuasaan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.
Ia susulan pendirian Sultan Selangor sebelum ini yang tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
