Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Garis panduan rumah ibadat bukan Islam untuk pembangunan baru
Diterbitkan:  May 30, 2026 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa garis panduan berkaitan rumah ibadat bukan Islam di kawasan komersial hanya terpakai kepada pembangunan baru dan tidak akan menjejaskan rumah ibadat yang sudah beroperasi.

Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu dijelaskan kepada persatuan-persatuan agama bukan Islam dalam mesyuarat yang turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pengarah PlanMalaysia Selangor dan unit perancang ekonomi negeri.

Menurut Limas, matlamat garis panduan tersebut ialah untuk memastikan perancangan lebih tersusun dapat dibuat bagi kawasan pembangunan komersial baru.

"Maksudnya garis panduan ini tidak terpakai untuk rumah ibadat yang sudahpun wujud di kawasan komersial sedia ada di seluruh Selangor.

"Tujuan garis panduan ini ialah untuk membolehkan perancangan yang lebih tersusun di kawasan pembangunan baharu supaya tanah yang digazetkan untuk rumah ibadat mengikut keperluan penduduk terletak berhampiran kawasan perumahan," katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Bersama Limas iaitu Ng Sze Han, Ng Suee Lim dan V Papparaidu.

Penjelasan itu hadir ketika timbul kebimbangan dalam kalangan beberapa pihak berhubung implikasi garis panduan berkenaan terhadap rumah ibadat bukan Islam yang beroperasi di kawasan komersial.

Menurut Limas, kerajaan negeri memahami bahawa sebahagian persatuan agama memilih untuk beroperasi di kawasan komersial dan perindustrian bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

Sehubungan itu, katanya, persatuan agama yang menghadiri mesyuarat berkenaan memohon supaya kerajaan negeri memberikan ruang untuk bangunan komersial digunakan sebagai rumah ibadat di kawasan pembangunan baru.

Dapatkan maklum balas

Cadangan itu, menurut Limas, boleh dipertimbangkan dan tertakluk kepada syarat kebenaran merancang dan penilaian kes demi kes oleh PBT.

Mereka juga memohon agar proses mendapatkan kebenaran merancang dipermudahkan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri memberi jaminan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara.

"Islam kekal sebagai agama Persekutuan dan setiap orang berhak menganuti serta mengamalkan agama masing-masing," katanya.

Menurut Limas, mereka akan terus berhubung dengan persatuan-persatuan agama terbabit bagi mendapatkan maklum balas serta menambah baik garis panduan tersebut.

Mereka juga, kata Limas, mahukan ia bersifat bersifat inklusif dan sentiasa membolehkan rakyat Selangor hidup secara berharmoni dengan memahami satu sama lain.

Lee Chean Chung

Pada 24 Mei lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menyuarakan kebimbangan terhadap dua peruntukan dalam garis panduan yang diluluskan mesyuarat exco pada 12 Nov 2025 yang menurutnya boleh memberi implikasi besar terhadap aktiviti keagamaan di seluruh Selangor.

Menurut Lee, perenggan keenam di bawah “KM: 4-3 Rumah Ibadat Selain Islam (RISI)” menyatakan bahawa “Penempatan dalam kawasan yang ditetapkan sebagai zon komersial adalah tidak dibenarkan”.

Perenggan tujuh pula, katanya, menjelaskan “Penukaran bangunan sedia ada kepada kegunaan RISI adalah tidak dibenarkan”.

Sebagai respons, Sze Han berkata kerajaan Selangor menangguhkan penguatkuasaan garis panduan bagi tahun 2025 berhubung kelulusan permohonan baru rumah ibadat bukan Islam di lot kedai komersial.

Tambah Sze Han garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa itu akan diteliti semula oleh kerajaan negeri melalui rundingan bersama persatuan agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS