Kerajaan Negeri Perak akan mengkaji dan mempertimbangkan untuk mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti pendakian dan memasuki kawasan hutan di negeri ini bagi meningkatkan aspek keselamatan pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata langkah itu akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan mendesak selepas kerajaan negeri menilai semula keberkesanan SOP sedia ada.
Beliau berkata SOP yang dilaksanakan ketika ini sebenarnya amat memadai, namun ia bergantung kepada tahap pematuhan dan kerjasama daripada semua pihak khususnya golongan pendaki.
"SOP ini diwujudkan demi kepentingan dan keselamatan pendaki, bukannya kerana bayaran pendaftaran yang dikenakan. Melalui pendaftaran, pihak berkuasa mempunyai rekod nama pendaki, masa mereka memasuki kawasan hutan dan jumlah individu yang berada di kawasan tersebut.
"Saya berharap melalui insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini, masyarakat akan lebih memahami kepentingan SOP yang diwujudkan oleh kerajaan dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan larian amal Toyo Tires Charity Run 2026 di Taman Tasik Taiping, di Perak, hari ini.
Seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang sejak seminggu lepas di Gunung Batu Putih dekat Tapah semasa menyertai aktiviti pendakian bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lepas melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Sementara itu, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan meninggal dunia selepas hilang ketika mendaki Bukit Asa, Hulu Bernam, Hulu Selangor baru-baru ini setelah operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama empat hari.
Teh berkata aktiviti pendakian dan memasuki kawasan hutan sememangnya mempunyai risiko, justeru setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneliti sebarang kelemahan dalam SOP sedia ada dan tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan syarat yang lebih ketat pada masa hadapan.
"Jika terdapat keperluan yang benar-benar mendesak, kita akan mengetatkan lagi SOP. Sebagai contoh, jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kita tidak akan membenarkan pendaki memasuki kawasan hutan. Namun, perkara ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.
Dalam perkembangan lain, Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia (TTM) Sdn Bhd Mike Toh Poh Keong berkata seramai 1,833 peserta menyertai program larian amal tersebut terdiri daripada rakan korporat, sukarelawan dan ahli komuniti.
Ini, katanya, mencerminkan sokongan yang semakin meningkat terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang bermakna di Taiping.
Toh berkata sebagai sebahagian daripada komitmen ESG berterusan TTM, larian amal itu menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh keterangkuman komuniti, memupuk pembangunan belia serta mengeratkan kerjasama antara pihak korporat, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Katanya, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan sebahagian daripada komuniti Taiping sejak sekian lama, TTM terus komited untuk mencipta nilai mampan kepada masyarakat sambil menggalakkan gaya hidup sihat dan penglibatan komuniti yang lebih kukuh.
"Pada tahun ini, Toyo Tyre Malaysia menaja sepenuhnya program ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM170,000 termasuk RM50,000 sumbangan kepada organisasi kebajikan terpilih.
"Sebagai penghargaan atas sokongan luar biasa para peserta, hadiah cabutan bertuah bernilai RM20,000 turut disediakan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran larian tersebut.
- Bernama
