mk-logo
Berita
PN seru ahli hadapi PRN Johor dengan semangat kebersamaan
Diterbitkan:  Jun 1, 2026 8:35 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

PN menjanjikan pembabitkan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan “penuh tanggungjawab” selain pada masa sama menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka.

Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar, juga memberi peringatan kepada gabungan tersebut agar lebih berhati-hati termasuk menjauhkan pendekatan politik kebencian serta perpecahan

Katanya, sesebuah pilihan raya bukan sekadar persaingan politik sebaliknya medan untuk parti menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat, terutama melibatkan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara.

“PN akan memasuki gelanggang PRN ini dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, menamatkan spekulasi mengenai PRN di negeri itu dengan mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri berkuat kuasa hari ini.

Kata Onn Hafiz, pembubaran itu dibuat selepas dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan mendapat perkenan baginda.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan langkah lanjut kerana PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan BN negeri itu sudah menyatakan rancangan mereka meletakkan calon di semua kawasan, sekali gus menjadikan mereka bakal berdepan dengan PH serta PN secara langsung.

Langkah itu dibuat di sebalik hubungan kerjasama di antara BN dan PH di peringkat pusat melalui kerajaan perpaduan.

Pada masa sama PH dan PN juga sedang berdepan dengan beberapa krisis dalaman.

PN misalnya sedang mengalami ketegangan hubungan melibatkan dua parti utama – PAS dan Bersatu – dan perselisihan itu berlangsung secara terbuka.

Menghadapi PRN akan datang, Ahmad Samsuri juga sempat memberi peringatan kepada gabungan tersebut.

Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS itu berkata, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, PN akan dapat terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik.

“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen PN agar memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi PRN ini dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS