Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Elok juga PRN disekalikan dengan Perlis yang tak stabil
Diterbitkan:  Jun 2, 2026 7:45 AM
Dikemaskini: 11:45 PM

PAS berpendapat ada baiknya pilihan raya negeri (PRN) mendatang tidak hanya melibatkan Johor sebaliknya beberapa negeri lain, termasuk yang “tidak stabil” ketika ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, parti itu memang bersedia menghadapi PRN Johor dan akan memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi nanti.

Untuk itu, katanya, PAS akan bermesyuarat bagi meneliti persiapan yang perlu dibuat.

“PAS akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti persiapan bagi PRN ini.

"Elok juga kalau diadakan (PRN) serentak bagi Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, bahkan Perlis yang dilihat tidak stabil.

"Malah, kalau kerajaan pusat sedia adakan PRU pun kami sedia," katanya seperti dipetik portal BH Online malam tadi.

Pengundi Johor bakal memilih kerajaan dalam tempoh 60 hari mulai semalam selepas dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan. Pengumuman mengenainya dibuat menteri besar merangkap Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, selepas disembah maklum kepada Pemangku Sultan, Tunku Ismail Sultan Ismail.

Kali terakhir Johor mengadakan PRN ialah pada 12 Mac 2022. Mandat daripada PRN tersebut akan tamat secara automatik pada suku pertama 2027. Bagaimanapun di negara ini menjadi kelaziman untuk sesebuah DUN atau parlimen dibubarkan lebih awal.

Berbeza daripada sesetengah negara, tarikh PRU atau PRN tidak dimaklumkan lebih awal oleh kerajaan.

Untuk rekod Perlis menjadi isu yang dekat kepada PAS selepas parti itu terlepas jawatan menteri besar kepada Bersatu. Hubungan kedua-dua parti juga memburuk secara ketara selepas itu.

Baru-baru ini muncul pula kontroversi kononnya ada cubaan PAS untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap pemimpin Bersatu yang menjadi menteri besar, Abu Bakar Hamzah.

Naib Presiden PAS yang kini menjadi Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam mengeluarkan kenyataan menggesa semua ahli dan pemimpin gabungan itu untuk meningkatkan kerjasama serta disiplin bagi mendepani PRN Johor.

Menurut Tuan Ibrahim jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS bakal diketahui selepas mereka berunding dengan dengan parti lain dalam PN selain mengambil kira pandangan dari negeri terbabit.

"PAS akan meneliti cadangan bilangan kerusi yang dicadangkan oleh PAS Johor sebelum kita muktamadkan dalam mesyuarat PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS