Lubnan dan Israel bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata, menurut kenyataan bersama dengan Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara pada Rabu susulan rundingan di Washington.
Laporan Reuters menyebut gencatan senjata itu bergantung kepada penghentian sepenuhnya serangan daripada pejuang Hizbollah yang bersekutu dengan Iran dan pemindahan semua anggotanya dari Sektor Litani Selatan,.
Kedua-dua pihak bersetuju pada bulan lepas untuk gencatan senjata tetapi permusuhan berterusan.

Israel menyerang Lubnan pada Mac bagi memburu Hizbollah, yang melepaskan tembakan merentasi sempadan untuk menyokong Teheran.
Iran menyatakan ia tidak akan bersetuju dengan perjanjian untuk menamatkan konflik dengan AS dan Israel yang dilancarkan pada akhir Februari melainkan gencatan senjata turut merangkumi Lubnan.
Menurut media tempatan, Lubnan dan Israel bersetuju untuk mengadakan rundingan terus lanjut bagi membina keyakinan dan menyelesaikan isu-isu tertunggak yang lain.
Perkara itu disahkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat tiga pihak peringkat tinggi di Washington.

Mesyuarat yang berlangsung pada 2 dan 3 Jun itu membabitkan wakil AS, Lubnan dan Israel bagi membincangkan usaha menghentikan konflik serta memperkukuh kestabilan di sempadan kedua-dua negara.
Israel dan Lubnan juga mengulangi komitmen untuk meneruskan rundingan secara langsung bagi membina keyakinan, menyelesaikan isu tertunggak dan mencapai perjanjian yang berkekalan.
Delegasi kedua-dua negara turut membincangkan rangka kerja keselamatan yang bertujuan memastikan kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah masing-masing terus terpelihara.
Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha melucutkan senjata kumpulan bersenjata bukan kerajaan serta menghalang kemunculan semula kumpulan seumpamanya, terutama Hizbollah.
