Aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih, di Tapah dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa serta merta susulan kejadian kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di gunung tersebut sejak 24 Mei lepas.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Perak Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata aktiviti pendakian tersebut dihentikan antara tiga hingga enam bulan.
"Kita akan tengok dari segi (tahap) keselamatan di kawasan tersebut. Kita juga hendak memperbaiki semula kawasan ini dan ia mengambil masa tiga hingga enam bulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di Ipoh hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim.
Dalam pada itu, Mohd Basri berkata pihaknya juga akan meneliti secara terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti pendakian termasuk had masa atau cut off time pendakian hutan di negeri ini.
Sementara itu, Saarani dalam sidang media sama berkata masyarakat Orang Asli perlu dilibatkan dalam setiap aktiviti pendakian operasi mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang di kawasan hutan.
Beliau berkata hal itu kerana masyarakat Orang Asli lebih memahami selok-belok dan keadaan sebenar sesuatu kawasan hutan berkenaan.
“Hutan ini selain dijaga oleh Jabatan Perhutanan, ia ada komuniti setempat iaitu penduduk Orang Asli. Ini kawasan mereka, jadi mereka lebih tahu selok-belok dalam hutan.
“Sepatutnya (masyarakat Orang Asli) terutama Tok Batin turut dilibatkan dalam aktiviti pendakian, malah apabila berlaku kes kehilangan dan operasi SAR dilaksanakan, mereka juga perlu dilibatkan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Abdul Malik Hasim dilaporkan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda akan diteruskan dalam skala lebih kecil diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.
- Bernama
