Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam menggesa gabungan pembangkang untuk beralih daripada politik berteraskan kaum dan agama, sebaliknya membentuk pakatan pilihan raya yang berpaksikan integriti serta tata kelola yang baik.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan PN kekal relevan dan mampu menawarkan alternatif politik yang benar-benar membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dia turut mempersoalkan keberkesanan naratif kaum dan agama sekiranya sistem dalaman sesebuah parti atau gabungan itu sendiri masih dirosakkan oleh amalan salah guna kuasa.
"Format gabungan politik sedia ada yang terlalu bergantung kepada sentimen kaum dan agama terbukti gagal membawa perubahan struktur yang bermakna kepada sosioekonomi masyarakat.
"Apa faedahnya kepada PN dan rakyat sekiranya kita terus mengekalkan model gabungan lama yang sama, yang pada akhirnya langsung tidak memberi keuntungan atau pulangan kepada kebajikan rakyat?"
"Katakanlah kita berjaya menubuhkan sebuah gabungan teguh berasaskan kaum atau agama sekalipun, apa yang boleh kita lakukan jika parti-parti dalam gabungan tersebut masih rasuah? Apa gunanya jika mereka masih mempertahankan sistem birokrasi yang bobrok serta terus melindungi kepentingan kartel-kartel tertentu?" katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, isu-isu seperti rasuah sistemik, ketirisan dana awam, dan monopoli ekonomi oleh kelompok terpilih adalah musuh sebenar yang menjejaskan kehidupan harian rakyat tanpa mengira latar belakang.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan bahawa sudah tiba masa untuk menjayakan Muafakat Nasional 2.0.
Muafakat Nasional merupakan pakatan di antara Umno dan PAS yang dicapai selepas PRU ke-14 berlangsung yang menyaksikan BN kehilangan kuasa buat pertama kali dalam sejarah.
Ia meletakkan Umno – yang menjadi parti utama BN berada di kedudukan pembangkang. Parti itu kemudian bekerjasama dengan PAS membentuk gagasan tersebut pada Sept 2019.
Bagaimanapun PAS kemudian mengambil langkah sepihak dengan bekerjasama pula dengan Bersatu – yang sebelum itu meninggalkan PH – lalu membentuk PN hampir genap setahun kemudian.
Untuk rekod pada waktu ini hubungan PAS dengan Bersatu berada dalam situasi yang tegang apabila kedua-dua pihak saling menyerang secara terbuka, selain ada ura-ura mahu menggerakkan usul tidak percaya kepada Menteri Besar Perlis.
Sementara itu, Subramaniam mencadangkan agar PN menerajui usaha membentuk satu pakatan pilihan raya baru yang meletakkan syarat 'bebas rasuah' dan 'tata kelola baik' sebagai syarat mutlak penyertaan.
Katanya, pendekatan baru ini bukan sahaja akan membersihkan imej PN yang sering kali dicap sebagai gabungan berhaluan kanan, malah mampu menarik sokongan pengundi atas pagar dan masyarakat bukan Melayu.
"Rakyat hari ini sudah matang. Mereka tidak lagi mahu disogok dengan retorik perkauman jika pada masa yang sama kos sara hidup melambung tinggi akibat penyelewengan dan sistem yang tidak cekap.
"Mengekalkan status quo hanya akan menyebabkan PN terus dilihat sebagai sebuah gerakan yang jumud dan tidak mempunyai visi jangka panjang untuk negara.
"Sebaliknya, dengan mengangkat agenda tata kelola yang bersih, PN boleh membina sebuah naratif nasional yang lebih inklusif dan diyakini oleh pasaran domestik serta pelabur asing," katanya.
Tambahnya, sudah tiba masanya untuk PN berani membuat anjakan paradigma.
"Kita perlukan politik yang berpijak di bumi nyata iaitu sebuah pentadbiran yang bersih, telus, dan benar-benar bekerja untuk rakyat," katanya.
