Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerbau sensasi 'Donald Trump' jadi kegilaan ramai di zoo Bangladesh
Diterbitkan:  Jun 4, 2026 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Dengan bulu keemasan pada bahagian kepala dan berat mencecah 700 kilogram, 'Donald Trump' menarik perhatian ramai dari seluruh Bangladesh sejak haiwan itu tiba di zoo negara minggu lepas, lapor Kyodo News, memetik AP News.

Kerbau albino yang jarang ditemui itu menjadi sensasi apabila seorang petani menyedari bulu berwarna perang pada kepala haiwan itu menyerupai gaya rambut presiden Amerika Syarikat berkenaan.

Selepas video mamalia bertanduk itu tular di media sosial, ramai orang mula muncul di ladang di luar Dhaka untuk melihatnya sendiri.

Haiwan tersebut pada mulanya untuk disembelih sempena hari raya korban umat Islam namun mengambil kira kebimbangan keselamatan, kerajaan mengarahkan ia dipindahkan ke zoo di ibu negara, di mana orang ramai kini mengharungi panas terik untuk melihatnya.

Pada Selasa, pengunjung merapati pagar kandang kerbau itu, merakam dengan telefon mereka dan beberapa orang bapa mengangkat anak-anak kecil di bahu supaya dapat melihat dengan lebih baik.

Seorang pekerja zoo memanjakan haiwan itu, menyikat “rambut”nya ke tepi dan menyiramnya dengan air untuk memastikan ia kekal selesa ketika dikerumuni para peminat.

“Terdapat persamaan dengan Donald Trump pada mata, gaya ‘rambut’ dan warna kulitnya,” kata Mohammed Nasim, seorang pelajar di Dhaka.

"Dan seperti Donald Trump mempunyai personaliti dan gaya hidup tersendiri, kerbau ini, selepas menjadi viral, kini menjalani kehidupan yang serupa, menikmati banyak perhatian dan layanan istimewa."

Media tempatan melaporkan pada mulanya terdapat papan tanda yang tertera "Donald Trump" pada kandang haiwan tersebut, namun telah dialihkan.

Kurator zoo dipecat pada Sabtu, walaupun tiada sebab rasmi diberikan untuk pemecatan itu. Pastinya ada pihak yang tidak senang dengan nama berkenaan.

“Memberi nama salah seorang pemimpin paling berpengaruh dunia kepada haiwan ternakan ialah perkara yang salah,” kata penduduk Dhaka Mohammad Joynal Adedin, yang melawat zoo untuk melihat kerbau itu.

"Nampak tidak sopan. Saya rasa petani yang melakukan ini membuat keputusan yang tidak bijak.”

Kerbau itu dijual menjelang Hari Raya Aidiladha, iaitu “Hari Raya Korban” namun Menteri Dalam Negeri Salahuddin Ahmed mengarahkan polis untuk menahan jualan itu dan pihak berkuasa membayar balik kepada pembeli.

"Sejak sebelum hari raya, saya lihat catatan di Facebook mengatakan 'Donald Trump' akan dikorbankan. Kemudian, saya dengar bukannya dikorbankan malah ditempatkan di zoo," kata Mohammad Habibur Rahman, pengunjung zoo dari bandar Jashore di barat daya Bangladesh.

“Jadi, saya fikir saya akan datang ke zoo dan melihat sendiri ‘Donald Trump’,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS