Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Pelindung Khazanah Malaysia (Peka) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penghantaran tiga ekor gajah Malaysia ke Jepun susulan dakwaan wujud pelbagai keraguan dalam urusan tersebut.

Tiga gajah terbabit - Dara, Amoi dan Kelat (DAK) - kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.

Presiden Peka, Rajesh Nagarajan berkata pihaknya memperoleh beberapa dokumen yang menimbulkan persoalan mengenai proses penghantaran haiwan berkenaan, termasuk berkaitan pemilikan, lokasi sebenar gajah dan pihak yang terlibat dalam urusan eksport.

Menurutnya, antara dokumen yang dipersoalkan ialah Borang A, iaitu lesen eksport bagi ketiga-tiga gajah tersebut. Dokumen itu dikeluarkan atas nama Zoo Taiping dan Night Safari namun menyatakan Pahang sebagai lokasi keberadaan gajah-gajah berkenaan.

“Saya syak apa yang berlaku ialah pemilikan ketiga-tiga gajah tersebut telah dipindahkan kepada Zoo Taiping. Namun secara fizikalnya, ketiga-tiga gajah itu masih berada di Negeri Pahang, iaitu di Kuala Gandah.

“Kemudian apabila mereka dihantar ke Jepun, gajah-gajah ini dihantar terus dari Kuala Gandah ke KLIA dan seterusnya dari KLIA ke Jepun. Itulah yang saya percaya telah berlaku,” katanya pada sidang media mengenai keadaan semasa dan kebajikan gajah Malaysia di Jepun, hari ini.

Rajesh turut mempersoalkan peranan seorang pegawai veterinar dari Pahang, Zakaria Ahmad, yang mengesahkan dokumen berkaitan penghantaran tersebut.

Katanya, pihak berkuasa perlu menjelaskan secara terbuka lokasi sebenar gajah-gajah itu ketika pemeriksaan dijalankan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Persoal dakwaan urusan 'business-to-business'

Peka turut mempertikaikan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, yang dipetik dalam laporan media bahawa urusan melibatkan tiga gajah tersebut dibuat secara langsung antara Zoo Taiping dan Night Safari dengan Zoo Tennoji menerusi perjanjian antara perniagaan-ke-perniagaan (business-to-business).

Menurut Rajesh, kenyataan itu bercanggah dengan penjelasan terdahulu bahawa penghantaran tersebut merupakan urusan antara zoo dengan zoo (zoo-to-zoo).

“Selama ni awak cakap zoo kepada zoo. Lepas itu, tiba-tiba awak cakap business to business.

“Kalau business, mesti ada bayaran kan? Mesti ada orang yang terima duit kan? Siapa yang bayar? Jadi kita terima berapa? Mesti dapat beratus ribu atau berjuta-juta kan,” kata Rajesh kepada media.

Sebelum ini, Arthur dilaporkan berkata sebarang usaha menamatkan kontrak berkenaan mungkin melibatkan isu pembayaran balik (reimbursement) dan kerajaan perlu mencari dana bagi menampung kos tersebut.

Kerajaan juga sebelum ini menegaskan tiada unsur komersial dalam urusan berkenaan, termasuk sebarang jual beli atau pembayaran antara Zoo Taiping dan Night Safari dengan Zoo Tennoji di Osaka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan turut dilaporkan berkata perjanjian itu merupakan urusan antara dua zoo dan bukannya transaksi perniagaan seperti didakwa sesetengah pihak.

Bagaimanapun, Rajesh menyoal mengapa isu pembayaran balik dibangkitkan jika benar tiada wang diterima pada peringkat awal.

Katanya, rakyat berhak mengetahui sama ada terdapat bayaran dibuat, siapa yang menerimanya dan berapakah jumlah yang terlibat.

Siapa tanggung kos RM368,000?

Rajesh turut membangkitkan persoalan mengenai kos penghantaran tiga ekor gajah itu ke Jepun yang didakwanya mencecah RM368,000.

“Kos untuk menghantar ketiga-tiga ekor gajah itu ke Jepun adalah sebanyak RM368,000. Persoalan saya, siapa yang membayar kos itu?

“Adakah kementerian yang membayar? Adakah Perhilitan yang membayar? Atau Zoo Tennoji yang membayar? Siapa yang menanggung kos penghantaran tersebut,” soalnya.

Pada sidang media sama, Peka turut memaparkan dokumen bil penghantaran kargo tiga gajah berkenaan ke Jepun yang berjumlah ratusan ribu ringgit.

Menurut Rajesh, rakyat perlu mengetahui sama ada kos tersebut ditanggung kerajaan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Zoo Taiping atau Zoo Tennoji bagi memastikan tiada penyalahgunaan wang awam.

“Siapa yang menghantar ketiga-tiga ekor gajah ini ke Jepun? Ini merupakan tugas Perhilitan. Tanpa kelulusan Ketua Pengarah Perhilitan, penghantaran itu tidak boleh dilakukan. Ini bermakna Perhilitan telah pun memberikan kelulusan.

“Selepas Perhilitan meluluskan penghantaran itu, pihak mana lagi yang perlu memberikan kelulusan? Kementerian juga perlu meluluskannya.

“Ini bermaksud kementerian turut telah memberikan kelulusan. Hanya selepas semua kelulusan tersebut diperoleh, barulah ketiga-tiga ekor gajah itu boleh dihantar ke Jepun,” ujar Rajesh.

Sehubungan itu, Peka menuntut agar kontrak perjanjian antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji didedahkan kepada umum memandangkan gajah merupakan khazanah serta aset penting negara.

'Kalau pasal merokok boleh bising...'

Sementara itu, Penyelaras Pengerusi Muda Selangor, Abolqaz Anuar menggesa semua pihak yang sebelum ini meminta orang ramai berdiam diri atas nama mempertahankan negara supaya turut bersuara mengenai nasib tiga gajah tersebut yang kini berada di Jepun.

“Kalau pasal merokok anda semua boleh bising, maka isu ini juga sepatutnya mendapat reaksi yang sama,” ucap Abolqaz kepada media.

Dia turut mempersoalkan bagaimana kerajaan yang mendakwa komited memerangi rasuah kini berdepan isu yang disifatkannya semakin serius sehingga memberi kesan kepada pengurusan alam sekitar dan khazanah negara.

Sebagai tindakan susulan, Peka memaklumkan pihaknya akan memfailkan laporan rasmi kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dalam penghantaran Dara, Amoi dan Kelat ke Jepun.

Rajesh berkata, sekiranya siasatan mendapati tiada sebarang salah laku berlaku, pihak berkuasa tetap perlu memberikan penjelasan menyeluruh bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS