Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undang N Sembilan bantah bubar DUN, beri amaran kesan undang-undang

Undang dan pemimpin adat Negeri Sembilan secara rasmi membantah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun malam tadi.

Dalam surat yang dihantar melalui peguam mereka kepada speaker dewan, MK Ibrahim Abd Rahman, mereka berkata keputusan itu dibuat tanpa permohonan persetujuan pemimpin adat sebagai pemerintah bersama negeri.

Mereka mendakwa tindakan Aminuddin telah melanggar perlembagaan negeri Negeri Sembilan dan menggesa speaker untuk mengambil tindakan pembetulan segera.

"Sekiranya pembubaran DUN diteruskan ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk keabsahan keputusan pilihan raya dan sebagainya.

"Berdasarkan perkara diatas, anak-anak guam kami percaya Tuan Yang di-Pertua (speaker) akan menghormati kedaulatan undang-undang serta prinsip perlembagaan yang melindungi kedaulatan Negeri Sembilan dan langkah pembetulan yang tegas dan

wajar perlu diambil pada kadar segera," kata surat firma guaman Deidra Sharina & Co.

Firma itu mewakili Undang Luak Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau, Tunku Besar Tampin, serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong.

Pembesar tersebut memetik beberapa peruntukan di bawah perlembagaan negeri, termasuk Perkara 28(1), yang menetapkan bahawa istilah 'pemerintah' dalam perlembagaan merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar negeri dan Undang yang ada dan memegang jawatan.

Malaysiakini telah menghubungi MK Ibrahim untuk mendapatkan komen.

Negeri Sembilan menyaksikan pertikaian diraja semakin meruncing antara Undang dan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ia telah menyebabkan Undang mengambil keputusan untuk 'memecat' Tuanku Muhriz pada bulan April dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Walau bagaimanapun, eksekutif negeri enggan mengiktiraf pendirian yang diambil oleh Undang.

Badan perundangan negeri akhirnya terjerumus ke dalam kemelut apabila Undang memboikot majlis perasmiannya pada 23 April, menyebabkan persidangan ditangguhkan.

Aminuddin ketika mengumumkan pembubaran dewan malam tadi berkata dia telah menerima perkenan Tuanku Muhriz, tetapi mengelak soalan daripada media sama ada dia telah berunding dengan Undang.

Sebaliknya, Aminuddin menegaskan bahawa dia telah menerima "perkenan" yang memenuhi keperluan undang-undang di bawah perlembagaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS