Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PH berebut kerusi di Maran, Umno dah tak relevan'

Pertikaian mengenai parti yang lebih layak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul menyerlahkan wujudnya ketidaksepakatan dalam kalangan gabungan Kerajaan Perpaduan di Pahang.

Situasi itu tercetus selepas PKR menyatakan kesediaan untuk meletakkan calon di kedua-dua kerusi berkenaan, yang kemudiannya mendapat reaksi negatif daripada pimpinan Amanah.

Adun Kuala Sentul, Jasri Jamaludin yang juga Timbalan Ketua Bersatu Pahang berkata, perkembangan tersebut memberi gambaran dua kerusi DUN itu bukan lagi dianggap kubu kuat Umno dan BN.

"Kalau ikutkan, kerusi Kuala Sentul dan Luit adalah kerusi tradisi Umno, tapi bila PKR dan Amanah mula bersuara, nampaknya Umno dah boleh melupakan kerusi terbabit.

"Cuma saya fikir hal berkaitan kerusi DUN Kuala Sentul dan Luit tidak dibincangkan lagi antara mereka dalam PH, termasuk berbincang dengan Umno.

"Begitu juga kerusi Parlimen Maran, itu pun kalau nak dikira kerusi tradisi Umno. Berdasarkan perkembangan ini, saya boleh bayangkan legasi Umno dan BN di Maran sudah berakhir," katanya kepada Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

Luit dan Kuala Sentul merupakan dua kerusi yang terletak di Parlimen Maran, selain kerusi DUN Chenor.

Sebelum ini Ketua Amanah Maran, Ahmad Shuhor Awang meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan PKR untuk bertanding dua kerusi berkenaan.

Dia mendakwa perkara itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan pimpinan PH di peringkat kawasan.

"Kita (Amanah) pun ada kekuatan dan boleh juga nak umum kerusi mana kita mahu (bertanding)... tapi itu bukan caranya, apa-apa keputusan kena tunggu hasil perbincangan di peringkat tertinggi PH dan kerajaan perpaduan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Jasri mendakwa perselisihan antara PKR dan Amanah Maran dalam isu calon menunjukkan PH tidak lagi melihat Umno sebagai parti utama yang menyumbang kerusi dalam Kerajaan Perpaduan.

"PKR dan Amanah Maran macam tak pandang Umno Maran dah mereka anggap Umno sejak bersama DAP sudah tidak relevan.

"Umno Maran pula macam 'makcik kenduri' yang tunggu orang makan dulu baru nak ambil lauk," tambahnya.

Kerusi DUN Luit sebelum ini dimenangi calon PN dari PAS, Mohd Sofian Abdul Jalil, dengan majoriti 1,166 undi.

Jasri pula memenangi kerusi DUN Kuala Sentul dengan menewaskan Khairuddin Ali (BN) dan Amran Tahir (PH).

Jasri memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis 241 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS