Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti gabungan itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Johor itu berkata jaminan tersebut dibuat selaras dengan pendirian seluruh 26 bahagian Umno Johor serta parti-parti komponen BN di negeri itu yang mahu bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, pendirian itu juga telah disampaikan kepada Presiden Umno, yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
"Dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor selaku Pemangku Sultan Johor, insya-Allah apabila kerajaan kita ditubuhkan semula dan jika kita diberikan mandat untuk memimpin sekali lagi, kita tidak akan sekali-kali bersama DAP dalam kerajaan BN,” katanya dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-16 yang di Stadium Educity, Kota Iskandar, Johor Bharu, hari ini.
Onn Hafiz turut menegaskan dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.
"Saya lebih rela tidak memegang jawatan menteri besar daripada duduk semeja dengan mereka," katanya.
Pada masa sama, Onn Hafiz juga menolak tanggapan bahawa pendirian tersebut bermotifkan perkauman.
Menurutnya, masyarakat Melayu, Cina dan India di Johor hidup sebagai sebuah keluarga di bawah konsep Bangsa Johor, manakala bantuan kerajaan negeri diberikan tanpa mengira kaum.
Adun Machap itu turut mempertahankan program Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang telah memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk suri rumah, warga emas dan ibu tunggal.
Menurutnya kritikan terhadap BKJ hanya timbul selepas BN Johor mengumumkan hasrat bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.
"Sewaktu BKJ fasa pertama, kedua dan ketiga dilaksanakan, tidak ada bantahan. Tetapi apabila kita umumkan hasrat bertanding di semua 56 kerusi, tiba-tiba BKJ dikatakan menyusahkan rakyat," katanya.
Onn menegaskan landskap politik Johor berbeza dengan situasi di peringkat Persekutuan dan BN Johor tidak pernah bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran negeri.
Sebaliknya, Onn Hafiz berkata, pihak yang pernah bersama-sama membentuk kerajaan negeri sebelum ini ialah Bersatu ketika parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan berkuat kuasa serta-merta pada 1 Jun lalu selepas Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memperkenankan pembubarannya.
Bubar DUN awal
Sementara itu, mengulas keputusan membubarkan DUN Johor lebih awal, Onn Hafiz berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kalendar perayaan, musim tengkujuh serta ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global
Menurutnya, meskipun penggal pentadbiran semasa masih berbaki hampir setahun sehingga April tahun depan, pelaksanaan pilihan raya pada tahun hadapan dianggap kurang sesuai.

"Ramai yang tanya kenapa Johor bubar pada 1 Jun tahun ini sedangkan kita ada sehingga April tahun depan. Tetapi pada Mac tahun depan adalah Hari Raya Aidilfitri, manakala Februari pula bulan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
"November, Disember dan Januari pula musim tengkujuh dan biasanya berlaku banjir. Orang Johor tahu hakikat ini, mungkin ada pihak di luar yang tidak memahami keadaan sebenar di Johor," katanya.
Dia berkata kerajaan negeri juga perlu mengambil kira perkembangan semasa di peringkat antarabangsa yang semakin tidak menentu.
"Keadaan geopolitik di Timur Tengah semakin meruncing dan situasi global juga tidak stabil. Dalam keadaan yang mencabar ini, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.
"Kita mahu memastikan Johor terus bergerak ke hadapan dan sebab itu mandat baharu daripada rakyat penting untuk menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negeri," tambahnya.
