Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP membidas kenyataan menteri besar Johor sementara Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan dia rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan parti itu.
Dalam ucapan di Kementerian Komunikasi hari ini, Anwar - tanpa menyebut nama - berseloroh bahawa pemimpin terbabit tidak mempunyai masalah untuk duduk di sebelah Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, yang juga timbalan menteri komunikasi.
Terdapat sekurang-kurangnya satu foto pertemuan Onn dan Teo bersama-sama dalam kapasiti politik mereka pada Oktober 2024.
Anwar dalam ucapannya turut berkata bahawa pemimpin silih berganti tetapi kerangka dasar menjadi pegangan; justeru, sesiapa sahaja yang menjadi rakan kongsi dalam kerajaan mesti mewakili semua kaum Malaysia.
Oleh itu, adalah agak sombong dan angkuh untuk membuat keputusan yang menafikan hak mana-mana kaum atau parti daripada menyertai dan menjadi sebahagian daripada kerajaan gabungan, katanya sambil menambah dia berharap kenyataan melampau sedemikian diakui sebagai kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Malam tadi, Teo turut menyindir Onn Hafiz dengan melabel pemimpin itu secara sinis sebagai orang paling berprinsip kerana enggan “duduk semeja” bersama DAP, tetapi tidak mempunyai masalah untuk “berdiri bersama” mereka semasa pilihan raya kecil Mahkota pada 2024.
Secara berasingan, timbalan pengerusi DAP Nga Kor Ming mendakwa Onn Hazi merayu DAP supaya membantu berkempen bagi calon BN semasa pilihan raya kecil Mahkota.
“Tetapi kini keangkuhan dan kesombongannya sangat dikesali. Ini bukan budaya Melayu,” kata Nga di X malam tadi.
Semasa kempen Mahkota, Onn Hafiz, antara lain berkongsi pentas dengan anggota parlimen Kluang Wong Shu Qi, dengan memintanya menterjemah ucapannya ke dalam bahasa Mandarin untuk hadirin Cina tempatan.

Walaupun BN memenangi pilihan raya kecil itu, pengkritik - termasuk daripada BN - mengambil perhatian bahawa kurang daripada 50 peratus pengundi Cina di Mahkota keluar mengundi.
Lebih banyak sindiran
Di Facebook malam tadi, seorang pembantu kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo memuat naik beberapa foto pertemuan Onn Hafiz dengan pengerusi DAP itu dalam kapasiti kerajaan mereka semasa mesyuarat Oktober lalu.
“Bukankah itu Datuk yang duduk semeja berhadapan dengan pengerusi kebangsaan DAP?
“Bukankah itu Datuk yang berjabat tangan dan berbincang dalam suasana penuh hormat dengan pengerusi lebangsaan DAP?
“Bukankah itu juga Datuk yang hadir membawa cenderamata dan mengadakan pertemuan sempena Asean AI Summit di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia?
“Jadi, yang mana satu rakyat Johor harus percaya? Gambar-gambar ini atau kenyataan yang Datuk buat hari ini?“ soal Mandeep Singh.

Dalam kenyataan lain, anggota parlimen Ipoh Timur Howard Lee mempersoalkan sama ada Onn berasa lebih hebat daripada pemimpin Umno dan BN lain yang bekerjasama dengan DAP.
“Apakah Onn Hafiz sedang mengatakan bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad—yang lebih lama berkhidmat dalam Umno, kerajaan dan sebagai wakil rakyat—adalah menteri besar serta ahli Umno yang kurang hebatannya ketimbang dirinya sendiri hanya kerana mentadbir bersama DAP?” soalnya.
“Bagaimana pula Setiausaha Agung Barisan Nasional Dato' Seri Zambry yang dilantik senator menjadi Menteri Pengajian Tinggi oleh kerajaan yang 'semeja' dengan DAP?
“Bagaimana pula dengan Presiden Umno merangkap timbalan perdana menteri yang duduk sebelah setiausaha agung DAP?
“Adakah beliau juga ahli Umno yang kurang martabatnya berbanding Onn Hafiz?” soalnya.
Lee berkata, jika semeja dengan DAP dianggap satu kesalahan besar, bagaimana pula apabila kerjasama berkempen sepasukan untuk memenangkan calon Umno yang turut disokong DAP.
“Dalam bahasa Inggeris, sikap seperti ini disebut hypocrite. Dalam bahasa Melayu, ada yang menyifatkannya sebagai lidah biawak—cakap lain, buat lain.,” sindirnya.
Dia berkata, pada usia 47 tahun, Onn Hafiz masih dianggap muda mengikut resmi politik Umno dan dia baru dua penggal menjadi wakil rakyat dan kini baru mahu memasuki penggal ketiga.
“Ukurlah baju di badan sendiri. Kekurangan pengalaman bukannya satu kesalahan, tapi ia juga bukan lesen untuk bersikap angkuh.
“Malaysia dan masa hadapan negara memerlukan kepimpinan yang matang, bukan politik bagai ayam jantan berkokok lantang, tetapi ekor bergelumang tahi,” katanya.
Lee turut menyelitkan serangkap pantuan buat Onn Hafiz.
“Dari Ipoh merantau ke Machap,
Singgah Paloh membeli rotan;
Jangan angkuh meninggi cakap,
Pangkat dan jawatan tidak berkekalan.”
